Zulkurnain Kamisan

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan yakin segala bentuk bantuan yang diperkenalkan kerajaan termasuk BUDI Diesel bertujuan mengutamakan kebajikan rakyat dan bukannya ‘gula-gula politik’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan berkata, adalah tidak wajar membuat andaian bahawa setiap inisiatif kerajaan bertujuan meraih sokongan politik, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada manfaat yang diterima rakyat.

“Saya lebih fikir kepada yang positif. Kita pun tidak boleh membuat andaian-andaian untuk mengatakan mungkin ini tindakan kerajaan untuk membeli undi dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini, hari ini.

Zulkurnain yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Jun berkata, prinsip yang dipegangnya ialah kepentingan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan kerajaan.

“Apa pun kerajaan lakukan, walaupun mungkin ada andaian daripada pihak tertentu yang mengatakan ia ‘gula-gula’ politik, saya masih yakin bahawa tujuannya adalah untuk membantu rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam keadaan rakyat berdepan pelbagai cabaran dan kos sara hidup yang semakin meningkat, langkah kerajaan menyalurkan bantuan wajar dilihat sebagai satu tanggungjawab yang perlu dihargai.

“Saya melihat  dengan adanya rasa tanggungjawab kerajaan hari ini, dengan beban yang kita alami hari ini, tindakan itu terpuji. Mungkin ini sebagai satu cara untuk kita membantu rakyat,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini memaklumkan, Program BUDI Diesel terus menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 80,000 pengguna telah memanfaatkan inisiatif itu sepanjang tempoh akses awal.

Menurunya, ia  mencerminkan penerimaan yang baik terhadap pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar.

Malah menurutnya, operasi pemantauan BUDI Diesel yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara hari ini bertujuan memastikan pelaksanaan program berjalan lancar pada hari pertama penguatkuasaan sepenuhnya.

Katanya, program itu telah memulakan akses awal sejak 27 Jun lalu dan setakat ini pelaksanaannya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast