KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia memberi ruang untuk mengambil pendekatan yang lebih progresif dengan menetapkan skop percukaian secara bersasar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada segi cukai perbelanjaan, ia lebih berfokus di mana barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh majoriti rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.
Beliau yang Menteri Kewangan memberitahu, SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar bagi memastikan beban cukai tidak ditanggung sepenuhnya oleh majoriti rakyat dan margin kos diserap oleh pihak industri bagi mengekalkan daya saing dan kompetitif dalam perniagaan.
“Di samping itu, SST juga telah digunakan di Malaysia lebih 50 tahun sejak 1970-an di mana ianya merupakan sistem yang telah difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.
“Selain itu, kerajaan juga menambahbaik sistem percukaian semasa dengan penekanan diberikan untuk mengoptimumkan pentadbiran cukai.
“Ini termasuklah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan ketirisan hasil dengan mengkaji dan menambah baik pentadbiran cukai oleh agensi kutipan cukai Kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah rancangan kerajaan untuk menambahbaik sistem percukaian termasuk cuka perbelanjaan yang ada dalam negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, peruntukan perundangan semasa juga disemak secara berterusan bagi memastikan ruang dan peluang kebocoran hasil dapat dikenal pasti dan ditutup.
Menurut beliau, kesemua langkah ini membolehkan sumber hasil Kerajaan dapat diperkukuh, tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.
Katanya, tambahan hasil yang diperolehi akan disalurkan semula bagi manfaat rakyat secara keseluruhan melalui pelbagai inisiatif seperti yang telah dirancang di bawah dasar-dasar kerajaan dalam jangka masa pendek dan panjang.
“Kerajaan sentiasa komited untuk menggalas tanggungjawab memperkukuh kedudukan fiskal negara namun pada masa yang sama masih tetap memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi meningkatkan hasil yang dirancang secara prinsipnya akan dilaksana secara berhati-hati, melibatkan libat urus dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keperluan fiskal negara namun dalam pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dan generasi akan datang.
“Sebarang cadangan bagi penambahan hasil kerajaan adalah sebenarnya untuk memberi ruang fiskal negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang boleh tiba tanpa dijangka seperti krisis bekalan minyak mentah global pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















