KLUANG – Dakwaan Barisan Nasional (BN) hanya mampu mendapat 35 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 tidak bersandarkan asas yang kukuh.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan percaya, teori tersebut dibuat dalam bilik dingin dan bukannya turun padang membuat kajian perkembangan yang sedang berlaku.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata demikian, dakwaan tersebut dibuat mengikut khabar angin yang tersebar dalam media sosial semata-mata bukan mempunyai data yang sebenar.
“Sejujurnya saya lebih percaya data yang dikeluarkan mengikut teori turun padang seperti dilakukan oleh BN kerana dilakukan berlandaskan daripada situasi di lapangan.
“Saya pun boleh kata bahawa BN akan dapat memperolehi lebih 45 kerusi kerana saya menyaksikan sendiri penerimaan pengundi kepada setiap calon bertanding dan ia diperolehi dengan turun padang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau mengikut teori di DUN Layang Layang ini, saya lebih percaya dengan usaha dilakukan dan kemenangan akan menjadi bilik BN denan mengekalkan sasaran 40 kerusi keatas akan tercapai,” ujar Ahli Parlimen Pontian itu.
Ahmad Maslan berkata demikian selepas menyertai program Godak Bubur Lambuk dan Ziarah Kasih di Kampung Seri Pekan di Layang Layang, Simpang Renggam di sini hari ini.
Turut hadir calon BN bagi kerusi DUN Layang Layang, Chua Jian Boon.
Menurut Ahmad Maslan lagi, keputusan meletakkan calon MCA di Layang Layang dilakukan berlandaskan jumlah kaum di Parlimen Simpang Renggam iaitu satu pertiga daripada kira-kira 59,000 pengundi.
Ujarnya, daripada jumlah, dua pertiga adalah pengundi Melayu serta India dan Simpang Renggam sudah ada dua pemimpin Melayu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.
“Salahkah kita letak seorang pemimpin Cina untuk satu pertiga daripada pecahan kaum tadi kerana kita sudah ada dua pemimpin Melayu dan langkah ini adalah satu keadilan yang ada dalam BN,” katanya.
Dakwaan itu tercetus susulan spekulasi BN sedang menilai semula strategi kempen selepas kajian dalaman didakwa menunjukkan gabungan itu hanya berpotensi memenangi sekitar 30 kerusi DUN.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala pengundian awal pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















