Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha bercakap kepada MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout bersama calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas di Taman Desa Rahmat, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) optimis calon mudanya di kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad mendapat penerimaan positif daripada pengundi sepanjang tempoh awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha sendiri mengikuti siri kempen di kawasan itu dan mendapati sambutan masyarakat amat menggalakkan.

Menurut beliau, walaupun Faezuddin pertama kali bertanding dalam pilihan raya, calon berkenaan mempunyai kewibawaan serta mampu membawa idea baharu kepada pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

“Setakat ini kita sudah turun ke beberapa kawasan dan Alhamdulillah tidak nampak sebarang penolakan.

“Masyarakat menerima risalah profil calon, manifesto serta penerangan mengenai pencapaian Kerajaan Perpaduan dengan baik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout di sekitar premis perniagaan dan kedai makan di Taman Desa Rahmat di sini hari ini.

Selain itu, Dr Zaliha mengingatkan semua calon PH supaya lebih berhati-hati sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan setiap peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipatuhi sepenuhnya.

“Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, orang akan melihat tingkah laku dan cara berkempen calon,” katanya.

Menurut beliau, perkara yang lazim dilakukan dalam kehidupan seharian seperti menghadiri kenduri atau bersalaman dengan penduduk perlu dilakukan secara lebih berhemah bagi mengelakkan salah tafsir.

“Mungkin ada perkara yang biasa kita lakukan dalam kehidupan seharian seperti pergi kenduri, orang Johor panggil salam kaut, itu biasa kita menyantuni rakan kita atau penduduk (keluarga pengantin),” jelasnya.

Selain itu, jelas Dr Zaliha lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menjelaskan mengenai pemakaian peraturan berkaitan penggunaan agensi kerajaan dan program baharu sepanjang tempoh kempen.

“Saya menasihatkan semua calon PH supaya sentiasa berhati-hati kerana masyarakat sedang menilai tingkah laku dan cara kita berkempen,” katanya.

“Pematuhan kepada peraturan pilihan raya penting bagi memastikan kempen berlangsung secara sihat dan berintegriti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast