KUALA LANGA – Kehadiran tiga beradik kembar mendaftar serentak sebagai pelajar baharu di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) bukan sahaja mencuri perhatian warga kampus, malah menjadi simbol keyakinan generasi muda terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan membina masa depan.
Irsyad Aminuddin Amerizan, Isyraq Hafizzuddin Amerizan dan Isyraf Muizzuddin Amerizan melangkah seiring memulakan pengajian bagi sesi kemasukan I 2026/2027 dengan memilih bidang yang menepati minat dan kecenderungan masing-masing.
Irsyad Aminuddin dan Isyraq Hafizzuddin mengikuti Program Sijil Animasi 2D, manakala Isyraf Muizzuddin memilih Program Sijil Teknologi Maklumat.
Ketiga-tiga mereka merupakan lepasan Sekolah Menengah Puchong Perdana yang mengikuti aliran Ekonomi dan Perniagaan serta Seni sebelum mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang kemahiran.
Bagi ibu bapa mereka, Amerizan Abd. Ghani, seorang pesara, dan Aida Kasim @ Mohd. Taufik yang bertugas sebagai pembantu tadbir, pendaftaran tiga anak serentak ke institusi pengajian tinggi menjadi detik penuh bermakna serta membanggakan keluarga.
Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat, Mohd. Asyraf Md. Sum berkata, kehadiran tiga beradik kembar itu mencerminkan perubahan positif dalam persepsi masyarakat terhadap TVET yang kini semakin mendapat tempat sebagai pilihan utama lepasan sekolah.
Menurut beliau, pendidikan berasaskan kemahiran bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran yang praktikal, malah membuka peluang kerjaya yang luas sejajar dengan keperluan industri masa kini.
“KKKL komited menyediakan pendidikan kemahiran yang berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Kami mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu dan berharap mereka dapat mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran serta membina masa depan yang cemerlang sepanjang mengikuti pengajian di sini,” katanya.
Beliau berkata, kisah tiga beradik itu juga membuktikan sokongan padu ibu bapa menjadi antara faktor penting dalam membentuk keyakinan anak-anak untuk memilih laluan pendidikan yang bersesuaian dengan minat dan potensi diri.
Berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu, keluarga berkenaan membuktikan kejayaan tidak semestinya bergantung kepada laluan akademik konvensional, sebaliknya turut boleh dicapai melalui pendidikan TVET yang semakin diyakini mampu melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan memenuhi keperluan negara.
Kisah tiga beradik kembar itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai lepasan sekolah agar berani memilih pendidikan berasaskan kemahiran sebagai langkah awal membina kerjaya dan masa depan yang lebih gemilang. – MalaysiaGazette















