Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 36 kemalangan direkodkan di 12 lokasi Smart Lane yang diaktifkan pada hari bekerja dari Januari hingga Mei lalu yang membabitkan penunggang motosikal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah tersebut adalah rendah dan menunjukkan tahap keselamatan di laluan berkenaan masih terkawal berbanding laluan biasa tanpa pelaksanaan Smart Lane.

“Majoritinya kes yang direkodkan ini pula hanyalah melibatkan kemalangan kecil seperti kejadian calar atau geselan kenderaan sahaja.

“Jadi, hasil analisis menunjukkan bahawa punca utama kemalangan di zon ini berpunca daripada sikap pengguna yang gagal mematuhi arahan seperti menggunakan lorong kecemasan sebelum zon Smart lane iaitu bermula atau selepas zon tersebut tamat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN–Kangar) mengenai statistik kemalangan di laluan Smart Lane di Lebuhraya Utara-Selatan serta langkah jangka panjang kementerian bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Alexander menambah, faktor lain yang turut menyumbang di Smart Lane ialah tindakan menukar lorong secara berbahaya tanpa memberikan lampu isyarat atau tanpa memastikan jarak selamat yang cukup,

Jelas beliau, terdapat tindakan segelintir pemandu yang memberi memberhentikan kenderaan di laluan Smart lane tanpa sebarang kes kecemasan yang sahih sekaligus menghalang pelancaran aliran trafik,”

“Lorong kecemasan bukan merupakan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal sebaliknya boleh diguna pakai untuk kegunaan lain termasuk pengaktifan Smart Lane dan tidak terhad kepada kegunaan kecemasan sahaja.

“Pelaksanaan Smart Lane di lebuh raya sentiasa dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar mematuhi piawaian keselamatan yang ketat bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya, termasuk penunggang motosikal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast