JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyambut baik pelaksanaan inisiatif BUDI Madani Diesel sambil menyifatkan langkah itu sebagai usaha proaktif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut membolehkan lebih ramai rakyat yang layak menikmati diesel pada kadar subsidi RM2.10 seliter bagi kuota sehingga 200 liter.
“Kita mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta Kerajaan Madani kerana melaksanakan BUDI Diesel yang memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.
“Inisiatif ini sangat membantu meringankan beban dan kos sara hidup rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melakukan walkabout, menyantuni pengundi dan ceramah di atas trak Harapan di Anjung Selera Cempaka, Kempas.
Pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel yang berkuat kuasa 1 Julai 2026 membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Program ini memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia dan 300,000 di Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Faezuddin berkata, meskipun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan tekanan akibat krisis global yang menjejaskan bekalan serta kos, kerajaan masih mampu memperkenalkan dasar itu.
Menurutnya, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan bersasar dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.
“Walaupun kita berdepan krisis global yang memberi tekanan kepada negara, Perdana Menteri berjaya melaksanakan satu dasar cukup baik.
“Malah ia memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati diesel pada harga RM2.10 seliter,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















