JOHOR BAHRU – Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. N. Sathia Prakash menegaskan pelaksanaan Program BUDI Diesel bukanlah satu gimik politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya kata beliau ia merupakan dasar yang telah dirancang lebih awal bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Sathia menegaskan, dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan inisiatif tersebut untuk meraih sokongan politik adalah tidak berasas.
“Ramai kata sekarang diesel RM2.10 seliter ini permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hakikatnya, BUDI Diesel dimulakan lebih awal.
“Ketika ia diperkenalkan, Perdana Menteri sendiri tidak tahu akan ada PRN Johor.
“Bukan kita yang minta pilihan raya ini diadakan. Kerajaan hanya menjalankan tanggungjawab untuk membantu rakyat,” katanya ketika berkempen di Anjung Selera Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.
Pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel yang berkuat kuasa 1 Julai 2026 membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Program ini memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia dan 300,000 di Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Menurut Sathia, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar turut berjaya membawa pelaburan berskala besar ke Johor yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Katanya, pencapaian itu membuktikan kemampuan Kerajaan Persekutuan dalam merancakkan ekonomi dan beliau percaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati rakyat sekiranya kerajaan negeri turut diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Pelaburan yang dibawa ke Johor sangat luar biasa, begitu juga peluang pekerjaan yang diwujudkan.
“Bayangkan jika kerajaan negeri juga dipimpin PH, saya yakin ia akan membawa satu perubahan besar kepada Johor,” katanya.
Mengulas mengenai kuota diesel 200 liter sebulan kepada penerima layak, Dr. Sathia berkata had tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi.
“Kita tahu ada yang bertanya kenapa hanya 200 liter. Kita juga perlu faham terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk risiko penyalahgunaan subsidi.
“Kadang-kadang kita melihat dari bawah dan menganggap sesuatu itu tidak betul, tetapi kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter sebagai satu kelebihan yang sukar ditemui di negara lain ketika harga bahan api dunia terus meningkat.
“Di seluruh dunia harga minyak meningkat dan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, tetapi di Malaysia, kita masih dapat menikmati diesel pada harga RM2.10 seliter. Peluang seperti ini sukar diperoleh di negara lain.
“Saya menghargai pengorbanan dan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seluruh dunia mengenali beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dan kita sepatutnya berbangga dengan kepimpinan beliau, walaupun kadang-kala sedih melihat komen negatif di media sosial,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas supaya memberikan sokongan kepada calon PH, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad, pada hari pengundian 11 Julai ini.
“Masih berbaki sembilan hari lagi. Saya berharap rakyat Kempas membuat keputusan secara logik dan rasional demi membawa perubahan yang lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















