JOHOR BAHRU – Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny mengetuk kira-kira 200 pintu rumah di beberapa kawasan perumahan flat pada hari kelima kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, dari jumlah tersebut, kira-kira separuh penghuni membuka pintu dan meluangkan masa untuk berinteraksi, sekali gus memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pandangan serta permasalahan yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, tempoh perbualan bersama setiap penghuni berbeza mengikut keadaan, ada yang hanya seminit kerana kesibukan, manakala ada yang mengambil masa sehingga lima minit untuk berkongsi pandangan.
“Lebih kurang 200 pintu yang kami ketuk, saya rasa sekitar 50 peratus membuka pintu dan sudi mendengar. Ada yang bertanya soalan, ada yang sekadar berbual ringkas kerana sedang sibuk.
“Saya juga mengambil peluang bertanya khabar dan mendapatkan maklum balas mengenai keadaan tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyantuni pengunjung pasar malam di Taman Dahlia, di sini, pada Rabu.
Salamahafifi berkata, hasil tinjauan di Flat Taman Cempaka mendapati keadaan kawasan secara keseluruhannya memuaskan, namun beliau menyedari terdapat blok lain yang masih memerlukan perhatian dan belum sempat dilawati.
“Saya juga menerima aduan daripada peniaga di Anjung Selera Cempaka, Taman Cempaka berhubung insiden tiang elektrik didakwa condong selepas dilanggar beberapa jentera berat,” katanya.
Menurutnya, peniaga memaklumkan aduan mengenai kerosakan itu telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan sejak kira-kira sebulan lalu, namun masih belum menerima tindakan susulan.
“Saya dimaklumkan tiang itu mula condong selepas dilanggar lori, kemudian kabel yang jatuh pula terkena lori sampah. Aduan sudah dibuat tetapi sehingga kini belum ada tindakan yang jelas,” katanya.

Dalam lawatan sama, beliau turut menerima luahan penduduk warga emas yang tinggal di flat lima tingkat tanpa lif, khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan dan sukar turun naik menggunakan tangga setiap hari.
“Ada dua warga emas mengadu mengalami sakit kaki dan tinggal di tingkat empat. Saya simpankan maklumat mereka supaya sekiranya diberi peluang pada masa depan, saya tahu rumah mana yang perlu diberi perhatian dan dibantu,” katanya.
Beliau berkata, setiap kawasan perumahan mempunyai cabaran berbeza, termasuk isu penyelenggaraan, kebersihan dan kemudahan asas.
“Justeru pendekatan turun padang membolehkannya melihat sendiri keadaan sebenar tanpa bergantung kepada laporan semata-mata,” katanya.
Mengulas perjalanan kempen, Salamahafifi menganggarkan gerak kerja pasukannya kini mencapai kira-kira 30 peratus dengan baki 10 hari sebelum hari pengundian dimanfaatkan untuk memperhebatkan kempen.
Menurutnya, fokus ketika ini adalah melengkapkan pemasangan bendera serta memperluaskan liputan kempen dari rumah ke rumah, terutama menjelang hujung minggu.
“Kami masih ada sekitar 10 hari lagi. Hujung minggu ini dijangka lebih sibuk kerana lebih ramai penduduk berada di rumah dan itu memberi peluang kepada kami untuk bertemu lebih ramai pengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















