KUALA LUMPUR – Pendirian tegas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menekankan kelangsungan projek pembangunan tanpa dicemari campur tangan politik perlu dijadikan pedoman utama dalam pembinaan negara bangsa.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, seluruh saf kepimpinan parti menjunjung kasih atas titah baginda sempena perasmian Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang membawa mesej mendalam mengenai erti kematangan politik.

“Titah Tuanku dengan jelas mengangkat dua prinsip utama iaitu kejayaan hari ini adalah kesinambungan usaha berterusan tanpa perlu taksub pada jenama serta keikhlasan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

“Titah penghargaan Baginda kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang merealisasikan hasrat LRT3 serta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan projek termasuk mengembalikan lima stesen yang dibatalkan menyampaikan isyarat yang sangat jelas.

“Jasa tidak wajar dipadam, tanggungjawab tidak boleh dicemar dendam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pertukaran pentadbiran kerajaan adalah perkara biasa namun tanggungjawab terhadap kebajikan rakyat wajib diteruskan dan tidak sepatutnya dikorbankan demi persaingan politik atau perebutan pengiktirafan.

“Masa depan negara tidak dibina dalam tempoh satu penggal sebaliknya memerlukan kestabilan politik dan dasar yang konsisten bagi memastikan perancangan mampan seperti LRT3 memberi manfaat jangka panjang.

“Patik turut bersetuju dengan titah Sultan Selangor yang mahu semua pihak berhenti mengambil kesempatan menuntut kredit, memandangkan projek mega ini adalah hasil usaha pelbagai pihak dan pemenang sebenarnya adalah rakyat Selangor.

“Budaya politik Malaysia perlu berubah ke arah yang lebih matang, berani mengiktiraf jasa, berlapang dada menerima kebenaran, dan mendahulukan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, negara akan lebih dihormati apabila pemimpinnya berlumba mencipta manfaat, bukan berebut kredit.

“Sejarah akan sentiasa mengingati mereka yang membina dan bukan mereka yang meruntuhkan,” katanya.

Semalam Sultan Selangor menghargai jasa Najib berhubung kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan.

Baginda bertitah, Najib sebelum itu telah mendengar titahnya agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Pada 29 Jun lalu, LRT3 mula beroperasi sepenuhnya yang dikenali sebagai Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia.

Laluan Shah Alam ini memberi manfaat besar kepada lebih dua juta penduduk di sekitar jajaran barat Lembah Klang, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam serta mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang kritikal di koridor berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast