KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pendirian itu adalah selaras dengan dasar dan ketetapan Perikatan Nasional (PN).
Malah, ujarnya, tiada sebarang keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN mahupun dasar rasmi PN yang mengarahkan atau membenarkan sokongan kepada PH atau BN.
“Maka, Bersatu berpegang kepada keputusan dasar tersebut.
“Keputusan dasar ini menjadi panduan rasmi serta mengikat semua ahli Bersatu dan parti-parti komponen PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, tambah Tun Faisal, semua ahli dan penyokong hendaklah memberikan sokongan penuh kepada setiap calon yang bertanding menggunakan lambang PN.
Ujarnya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan mana-mana calon PN boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap usaha bersama parti-parti komponen PN dalam menghadapi PRN Johor.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan ahli Bersatu secara terbuka mengumumkan akan menyokong calon PH bagi DUN Sri Medan pada PRN 11 Julai ini.
Mereka mendakwa, keputusan itu diambil bukan kerana kecewa dengan PN, tetapi tertarik dengan kestabilan kerajaan semasa.
PN turut bertanding di DUN Medan menerusi calon daripada Pas, Ahmad Rosdi Bahari yang akan menentang penyandang daripada BN, Zulkurnain Kamisan dan calon PH, Hishamuddin @ Misrin Ishak.
Sebelum ini, Pas secara terbuka meminta ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang ditandingi PN bagi mengekang pengaruh PH di Johor. – MalaysiaGazette
















