KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan sungai-sungai yang masih cetek di negeri ini.
Titahnya, pembinaan tebatan banjir yang tinggi di sekitar sungai sekalipun tidak memberi kesan signifikan sekiranya dasar sungai terus dibiar cetek.
“Saya sentiasa ingatkan mana-mana kampung atau bandar di tepi sungai supaya sungai itu perlu didalamkan. Tidak ada gunanya tebatan setinggi-tinggi mana sekalipun kalau sungai kita semakin hari semakin cetek.
“Air masih akan melimpah di kawasan sekitar. Itu formula cukup simple, bukan rocket-science,” titahnya.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Baginda bagaimanapun turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri atas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur khususnya di Sungai Lembing.
Ia termasuk projek tebatan banjir yang disifatkan amat penting memandangkan kawasan itu sering menjadi lokasi terawal dilanda banjir di negeri ini.
Difahamkan, projek tebatan banjir dengan peruntukan RM100 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan. – MalaysiaGazette
















