Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis pelancaran program Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta Pemberian Bantuan Menara Gading di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menyalurkan Bantuan Menara Gading kepada 13 anak di bawah naungannya yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Jumlah itu mewakili 40 peratus daripada 33 pelajar YKM yang menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu, dengan kesemua mereka kini meneruskan pengajian melalui pelbagai laluan termasuk Tingkatan Enam, diploma, matrikulasi, asasi, sijil dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tunai itu akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula esok bagi membantu meringankan perbelanjaan awal sebelum memasuki kampus.

“Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.

“Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pelajar cemerlang YKM dalam SPM 2025, Aisyah Maharuddin yang memperoleh 10A kini mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, manakala Nurhanani Ainah Khafizan dan Nur Aqilah Alya Mohamad yang masing-masing memperoleh 9A melanjutkan pengajian dalam program asasi di UiTM Dengkil.

Katanya, bantuan tersebut merupakan sokongan awal yang penting bagi membolehkan pelajar memulakan kehidupan di kampus dengan lebih yakin, selain menjadi pemangkin untuk mereka terus mengejar kecemerlangan akademik.

“YKM akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut memberi jaminan YKM akan terus membantu anak-anak di bawah naungannya mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti selagi yayasan mempunyai kemampuan kewangan.

Seiring komitmen itu, katanya, YKM akan memperluaskan program pembangunan pendidikan termasuk Kem Motivasi SPM 2026 bersama pusat tuisyen MC Plus dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas.

Beliau berkata, YKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk menyumbang dana, menaja program pendidikan serta menyediakan bimbingan akademik kepada pelajar daripada keluarga yang memerlukan bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast