PASIR RAJA – Jalan yang selamat dilalui pada waktu malam menjadi keutamaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri Pasir Raja, Yuhanita Yunan, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, isu itu bukan retorik politik, sebaliknya keperluan asas yang telah lama membelenggu penduduk tetapi masih belum menemui penyelesaian.
Yuhanita yang berulang-alik melalui laluan dari Bukit Besar ke Saujana menerusi Jalan Kulai-Kota Tinggi serta jalan dari Bandar Tenggara ke Bukit Besar semasa mengajar di Pasti Al-Ummah Bukit Anggerik mendakwa, laluan di situ gelap dan sunyi.
“Lampu tidak sampai ke banyak bahagian jalan malah ada yang terpaksa melalui kawasan bukit bakau. Waktu itu saya tidak berhenti kerana gelap,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Tambahnya, majoriti penduduk di kawasan DUN Pasir Raja sudah berusia dan setiap kali waktu malam mereka terpaksa membawa risiko yang sepatutnya tidak perlu wujud dalam sebuah wilayah yang sudah merdeka sekian lama.
“Kemalangan demi kemalangan di laluan yang sama bukan lagi cerita asing, malah sudah menjadi rahsia umum yang sering didengar oleh semua komuniti setempat,” katanya lagi.
Jelasnya, dia menawarkan diri sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ke-16 ini bukan untuk mencari salah sesiapa, sebaliknya membawa suara tuntutan perubahan yang mendesak demi keselamatan nyawa penduduk.
“Saya bukan nak cerita tentang siapa patut dipersalahkan. Saya nak cerita tentang apa yang patut berubah.
“Jalan yang selamat. Lampu yang menyala bila malam tiba. Saya nak apa yang saya rasa ini, perlu ditamatkan,” ujarnya lagi.
PRN Johor ke-16 ini menyaksikan DUN Pasir Raja bakal berdepan dengan saingan tiga penjuru.
Yuhanita yang mewakili PN (Pas) akan dicabar oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang membuat kemunculan semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) serta Mohd Fakharuddin Moslim yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Untuk rekod, penyandang kerusi DUN Pasir Raja sebelum ini ialah Rashidah Ismail (BN) yang memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya lalu dengan majoriti 4,888 undi dalam persaingan empat penjuru.
Berdasarkan data daftar pemilih terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Pasir Raja mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 29,818 pengundi berdaftar.
Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai 2026, manakala hari pengundian awal pula akan berlangsung pada 7 Julai 2026. -MalaysiaGazette
















