ISKANDAR PUTERI – Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mendakwa terdapat calon Pilihan Raya Negeri (PKR) Johor yang baru sekarang ‘tunjuk muka’ sedangkan sebelum ini tidak pernah kelihatan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mendakwa, namun bagi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad sememangnya menunjukkan prestasi yang baik sejak berkhidmat empat tahun lalu.
“BN Johor meletakkan sasaran untuk terus mengekalkan sokongan rakyat di DUN Kota Iskandar dengan mempertaruhkan calon yang disifatkan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang serta komited dalam menyelesaikan isu rakyat.
“Fokus utama BN bukan sekadar memastikan pembangunan negeri terus pesat sebaliknya memastikan kemajuan yang dikecapi turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tanpa mengira kaum.
“Perkara utama yang ingin saya nyatakan ialah kita mahu memajukan negeri, tetapi yang lebih penting ialah memajukan rakyat. Itulah hasrat kita dalam BN.
“Sebab itu kita meletakkan calon-calon yang benar-benar komited dan terbukti berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout bersama Pandak di Pasar Tani Taman Nusantara, Gelang Patah di sini hari ini.
Ahmad berkata, pencalonan semula Datuk Pandak dibuat berdasarkan rekod perkhidmatannya sepanjang lebih empat tahun tiga bulan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar.
Beliau berkata, Menteri Besar Johor sendiri memaklumkan bahawa Pandak merupakan antara ADUN paling rajin di negeri itu berdasarkan komitmennya turun padang dan menyelesaikan pelbagai isu masyarakat.
“Saya tidak mahu memburukkan orang lain tetapi ada yang baru sekarang hendak menunjukkan muka. Sedangkan beliau sudah bekerja sejak lebih empat tahun tiga bulan lalu.
“Jadi saya mempunyai keyakinan beliau mampu meneruskan khidmat dengan lebih baik jika diberi mandat sekali lagi,” katanya.
Mengulas mengenai Kota Iskandar yang disifatkan sebagai kawasan elit dan mempunyai pengundi yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, Ahmad berkata, pengundi di kawasan itu bijak menilai prestasi seseorang wakil rakyat.
Menurut beliau, pelbagai usaha dan pencapaian Pandak dapat disaksikan sendiri oleh rakyat menerusi media sosial serta program turun padang yang dilaksanakan secara konsisten.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diterimanya daripada kepimpinan UMNO Bahagian Iskandar Puteri, sebahagian besar manifesto yang dijanjikan Pandak pada penggal lalu berjaya dilaksanakan.
“Saya yakin apa yang beliau hasratkan akan berjaya kerana beliau seorang wakil rakyat yang cukup komited membantu rakyat.
“Daripada 56 calon BN yang kita tampilkan, semuanya dipilih kerana kita yakin mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
DUN Kota Iskandar yang mempunyai 131,000 pengundi berdaftar, disahkan muncul antara kerusi terbesar di Johor daripada segi saiz elektoral bagi PRN Johor ke-16.- MalaysiaGazette
















