JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mengakui berdepan cabaran besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak mengambil mudah persaingan yang berlaku.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN memasuki pilihan raya kali ini sebagai ‘underdog’.
Menurut beliau, BN menjadikan 40 kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini sebagai asas untuk memperkukuhkan kedudukan.
“Untuk memperoleh lebih daripada itu, UMNO dan BN perlu bekerja keras kerana landskap politik Johor telah berubah,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Raya Taman Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.
Selain itu, Zahid juga berkata, lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda dan mereka merupakan pengundi yang menjadi penentu pemerintah selepas ini.
“Justeru segala tawaran dan manifesto BN memberi penekanan khusus terhadap keperluan generasi muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















