Gambar IPD Bera

KUANTAN – Seorang kakitangan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) maut dalam kemalangan babitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 18, Jalan Temerloh-Tebrau, Bera pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 11.29 pagi membabitkan Perodua Alza dan Toyota Alphard.

“Hasil siasatan awal mendapati, Perodua Alza dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh, manakala Toyota Alphard dinaiki dua individu dari arah bertentangan.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, dipercayai Toyota Alphard dikendali Pemandu Persendirian dengan seorang penumpang di tempat duduk belakang tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Zulkiflee berkata, ia mengakibatkan pertembungan dengan Perodua Alza dipandu kakitangan AADK berusia 37 tahun, Mohamed Sharif Mohamed Ali.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat.

“Pemandu Toyota Alphard yang hanya mengalami cedera di kaki telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Hasil ujian air kencing ke atas pemandu  didapati positif Benzodiazepine Pil erimin 5,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast