KUALA LUMPUR – Malaysia melantik Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai wakil pada upacara pengebumian rasmi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyed Ali Khamenei, di Tehran pada Jumaat.
Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan, Mohamad juga akan bertemu kepimpinan Iran untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati Malaysia kepada kerajaan dan rakyat negara itu.
“Malaysia amat sedih dengan kehilangan ini dan berdiri dalam solidariti dengan kepimpinan dan rakyat Iran semasa tempoh berkabung ini,” menurut kenyataan itu.
Khamenei terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Feb 2026.
Sementara itu, agensi berita Iran, IRNA melaporkan Iran memulakan istiadat penghormatan terakhir untuk Khamenei, dengan kehadiran para tetamu kenamaan asing dan tokoh agama di Grand Mosalla Tehran.
Katanya, jenazah Khamenei bersama jasad pengiringnya dipindahkan ke Grand Mosalla Tehran pada awal Jumaat dan ditempatkan di dewan solat utama, menjelang upacara penghormatan awam selama dua hari.
Wakil pusat Islam, pertubuhan masyarakat serta gerakan antiperang dan antihegemoni dari beberapa negara Eropah termasuk Itali, Belanda, Britain, Denmark dan Austria turut hadir di Tehran untuk mengikuti atau membuat liputan media mengenai istiadat itu.
Istiadat penghormatan itu diteruskan pada Sabtu dan Ahad, dengan jenazahnya ditempatkan di Grand Mosalla bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir, sebelum perarakan pengebumian diadakan di Tehran pada Isnin.
Upacara seterusnya dijadual berlangsung di kota suci Qom, diikuti istiadat di Baghdad, Karbala dan Najaf di Iraq, sebelum jenazah dikebumikan di Mashhad pada 9 Julai.
— BERNAMA-IRNA
















