Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat DUN Kempas di Dewan Raya Taman Cempaka, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 03 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan momentum kempen gabungan itu semakin meningkat selepas memasuki minggu pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, perkembangan itu berlaku walaupun BN berdepan saingan daripada parti-parti lain yang turut bertanding.

“Alhamdulillah, momentum kempen semakin meningkat walaupun kita dibebani dengan kehadiran rakan-rakan di gelanggang politik Johor.

“Isu-isu yang dibangkitkan juga telah kita santuni dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra BN Kempas di Dewan Raya Taman Cempaka, di sini, hari ini.

Sementara itu kata Zahid, manifesto BN bagi PRN Johor memberi penekanan besar kepada pembangunan modal insan, khususnya melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Jelasnya, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai anak muda memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi selaras dengan keperluan industri.

“Pengangguran kini menurun kepada 2.9 peratus dan ini petanda yang baik.

“Untuk memperoleh pekerjaan dengan gaji premium, anak-anak muda perlu mempunyai kemahiran dan latihan melalui TVET,” katanya.

Menurut Zahid, manifesto BN menyediakan pelbagai inisiatif bagi memperluaskan peluang latihan teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran graduan serta tenaga kerja muda.

“Saya merayu pengundi muda supaya memberikan sokongan kepada calon-calon BN pada pilihan raya kali ini demi memberi manfaat kepada masa depan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast