JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan hasrat Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Beliau berkata, pemimpin DAP itu tidak mungkin melepaskan kedudukan dalam Kabinet kerana telah selesa memegang jawatan berkenaan.
“Saya rasa Nga Kor Ming sudah selesa duduk sebagai menteri, jadi tidak mungkin beliau akan letak jawatan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Sesi Ramah Mesra bersama Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Laman Santai, Kempas, di sini, malam ini.

Terdahulu, Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Pada masa sama, Kor Ming juga membayangkan DAP akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia adalah “garis merah” parti terbabit.
Kor Ming mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah”.
Nur Jazlan juga berkata, DAP ketika ini berdepan tekanan daripada penyokong sendiri yang mula mempersoalkan pelbagai janji dan prinsip yang pernah diperjuangkan parti itu ketika menjadi pembangkang
Menurut beliau, ketika berada di blok pembangkang, DAP sering menawarkan pelbagai janji kepada rakyat, namun selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, penyokong mula mempersoalkan sejauh mana janji tersebut dilaksanakan.
“Bila musim pilihan raya seperti PRN Johor, penyokong mereka mula bertanya mana pergi janji-janji dahulu dan mana pergi prinsip yang selalu mereka perjuangkan.
“Kononnya Nga menawarkan diri untuk letak jawatan, tetapi saya mahu tengok sama ada perkara itu benar-benar berlaku,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian penyokong DAP yang menurutnya mengharapkan perubahan selepas parti berkenaan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Ia menjadi hasrat setiap parti politik untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan, namun rakyat akan terus menilai sama ada janji yang dibuat kepada pengundi dapat ditunaikan selepas memperoleh kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















