KULAI – Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu hari ini dengan bertemakan 7 Tekad Untuk Bukit Batu.
Pelancaran disempurnakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dan calon DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini.
Menurut Arthur, tekad pertama adalah melaksanakan Jambatan Kerjaya Industri Pusat Data dan memperluaskan program peningkatan kemahiran melalui HRD Corp.
Jelasnya, ini termasuk pemberian bantuan kewangan kepada peserta yang layak bagi melatih serta meningkatkan peluang pekerjaan penduduk tempatan untuk memenuhi keperluan industri pusat data.
Tekad kedua katanya, mempercepatkan Pelebaran Jalan FT 001 dan melaksanakan Sistem Lampu Isyarat Pintar sebagai langkah menyeluruh untuk mengoptimumkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan titik panas.
“Ketiga menaik taraf Klinik Kesihatan Kelapa Sawit bagi meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Sementara keempat pula mempergiatkan Usaha Membanteras Penyalahgunaan Vape dan Dadah dalam kalangan belia,” katanya dalam sidang akhbar.
Beliau berkata, kelima melibatkan usaha Perkasa Industri Pelancongan DUN Bukit Batu melalui kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan agensi berkaitan.
Menurutnya, tekad keenam adalah Perluaskan Kemudahan dan Kapasiti sekolah di DUN Bukit Batu bagi memenuhi pertambahan penduduk.
Sementara yang terakhir katanya, menyediakan Kelas Tuisyen Percuma Bahasa Melayu dan Sejarah bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademilk.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Kulai menewaskan S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.
Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.
Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.
Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.
Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemukakan petisyen pilihan raya.
Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah. – MalaysiaGazette
















