Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang bersama calon PH N.51 Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern pada Majlis Pelancaran Manifesto DUN Bukit Batu, di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Kulai. Foto SADIQ SANI, 03 JULAI 2026.

KULAI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tumpuan khusus terhadap lapan daripada 20 kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, kerusi berkenaan berpotensi menjadi milik PKR dan pada masa sama berusaha menawan seberapa banyak kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Salah satu kerusi yang akan kita mahu pertahankan adalah di DUN Bukit Batu dan pada masa sama kita mahu tambah jumlah kerusi di DUN lain dalam PRN Johor kali ini.

“PKR di kerusi yang ditandingi menawarkan calon yang lebih baik daripada parti lain. Selain itu apa yang penting adalah melibatkan politik nasional,” ujar beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini hari ini.

Turut hadir calon PH untuk DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Sebelum ini portal ini melaporkan, antara tujuh kerusi berkenaan ialah DUN Bukit Naning; Pemanis; Senggarang; Bukit Batu; Tenggaroh; Kempas dan Puteri Wangsa.

Lih Kang berharap, kerajaan negeri yang dipilih nanti terdiri daripada wakil pelbagai kaum dan agama sama seperti yang dipraktikkan di peringkat kerajaan Pusat.

Jelasnya, kerajaan negeri perlu menepati komposisi masyarakat majmuk di negeri ini yang diketuai pemimpin Melayu.

Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Kulai menewaskan S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.

Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.

Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.

Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.

Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast