KULAI – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mengakui peratusan keluar mengundi tinggi atau rendah akan mempengaruhi peluang Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mahu semua pengundi keluar seberapa ramai yang boleh untuk menunaikan tanggungjawab dan hak mengundi.
“Kalau peratusan mengundi rendah ada sedikit susah tapi kalau tinggi kita boleh menang banyak lagi kerusi. Sebab itu kita kena telefon anak dan cucu untuk balik mengundi kali ini,” katanya.
Pengarah Komunikasi PH Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam kutipan dana bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai di Restoran Defortune di sini malam ini.
Sheikh Umar berkata, rakyat Johor perlu beri 4-0 terhadap Barisan Nasional (BN) dan memenangkan PH dalam PRN Johor dan pilihan raya umum (PRU) nanti.
Katanya, kerajaan negeri yang baharu akan dapat dibentuk sekiranya PH menang lebih banyak dan cukup kerusi sekali gus akan membawa lebih banyak kemajuan di Johor.
Menurutnya, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan perlu mengeluarkan kos sehingga RM90 juta sedangkan PRN tersebut boleh diadakan serentak dengan PRU nanti.
BN Johor, katanya, mempunyai majoriti dua pertiga iaitu 40 kerusi DUN dan keadaan politik adalah stabil dan kukuh tetapi DUN tetap dibubarkan hanya kerana faktor ‘rindukan’ Datuk Seri Najib Razak.
Beliau mendakwa, selepas ini akan diadakan PRN di Negeri Sembilan dan Melaka dan kemudian PRU yang semuanya dalam masa terdekat.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.- MalaysiaGazette
















