JOHOR BAHRU – Dakwaan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini menyukarkan pengundi pulang adalah tidak berasas kerana ia ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan mana-mana parti politik.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez menegaskan, Barisan Nasional (BN) tiada kuasa untuk menentukan tarikh tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa SPR.
“Semua pihak termasuk anggota Kabinet sepatutnya memahami bahawa penetapan tarikh pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPR dan perlu dihormati mengikut proses yang ditetapkan.
“Dakwaan sedemikian hanya mencerminkan usaha mempolitikkan perkara yang jelas berada di bawah tanggungjawab SPR,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau membaca pelbagai komen di media sosial yang mendakwa tarikh pengundian pada 11 Julai iaitu pertengahan bulan menyukarkan khususnya anak muda pulang mengundi.
Dalam pada itu, Azman menolak dakwaan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya Kerajaan Negeri gagal memacu pertumbuhan ekonomi Johor.
“Pentadbiran negeri yang diterajui BN berjaya mengurus ekonomi dengan baik, dibuktikan melalui prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Johor mencatat pertumbuhan KDNK lapan peratus sekali gus menjadi yang tertinggi di negara ini berdasarkan laporan terkini,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri dan memacu pertumbuhan ekonomi.
“Saya menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 11 Julai ini dan terus memberi sokongan kepada BN.
“Ia bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta pembangunan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















