KULAI – Tawaran berulang dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan hari ini tidak boleh disifatkan sebagai tidak relevan atau tiada perkara baharu untuk rakyat.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, manifesto itu antaranya yang memberi tawaran dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perumahan untuk generasi muda adalah sentiasa relevan serta diperlukan rakyat.
Pengerusi DAP Johor itu berkata, tawaran tersebut diberikan mengikut keperluan dan kesesuaian masa dalam memastikan keperluan serta kebajikan rakyat dibela.
“Inilah isu-isu yang dihadapi pengundi, jadi tak boleh cakap tidak relevan lagi. Ini adalah permintaan rakyat, ini keperluan rakyat dan itu yang penting,” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis makan malam kutipan dana bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai di Restoran Defortune di sini malam ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi sebaliknya bertanya, adakah Barisan Nasional (BN) sudah pun menunaikan janji dalam pilihan raya lalu.
“BN pernah buat janji tetapi adakah mereka sudah melaksanakannya?” soalnya.
Menurutnya, kerajaan BN di Johor tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan sempadan seperti yang sudah dijanjikan sebelum ini.

Namun, katanya, menerusi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan masalah tersebut dapat diatasi.
PH hari ini menggariskan 10 tawaran utama dalam manifesto PRN Johor yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, pemilikan rumah, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi negeri.
Manifesto bertemakan ‘Johor Untuk Semua’ itu dilancarkan pada hari keenam kempen PRN Johor dengan menawarkan pelbagai inisiatif yang disifatkan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, di samping memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara negeri pemacu ekonomi negara.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, manifesto PH itu tidak mengujakan setelah sebahagian daripadanya telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor.
Ahmad Zahid berkata, daripada 10 tawaran utama yang dibentangkan, tidak ada sesuatu yang baru yang boleh menjadi satu ‘game changer’ (pengubah keadaan). – MalaysiaGazette
















