KLUANG – 11 murid daripada 139 keluarga di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini akan belajar dengan lebih selesa dalam bangunan baharu selepas penyerahan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) berkenaan hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ir Mahat Mat Dong berkata, bangunan sekolah baharu bernilai RM929,095 yang mula dibina pada September tahun lalu itu siap sepenuhnya pada 5 Jun lalu iaitu sebulan lebih awal daripada tarikh sebenarnya siap.
Katanya, dengan adanya bangunan baharu ini, anak-anak penduduk di kampung akan dapat menikmati suasana pembelajaran lebih selesa di samping memberikan manfaat kepada keluarga tanpa perlu bergerak jauh untuk memberikan pendidikan.
“Jakoa amat berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam pembinaan bangunan baharu termasuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kluang didalam menguruskan perjalanan projek.
“Semangat dan komitmen ini membuktikan bahawa kita boleh melaksanakan projek mengikut keperluan pelanggan demi kenaikkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan baharu Tabika di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini hari ini.
Turut hadir sama adalah Pengarah Jakoa Johor, Faizal Long, Pengarah Kemajuan Orang Asli Daerah Kluang, Mohamad Arif Mohamad Saidin Tan dan Jurutera JKR Daerah Kluang, Ir Norlela Abu Bakar.
Sementara itu, Batin Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Norsham Abdullah melahirkan rasa syukur dengan penyerahan bangunan baharu ini kerana itu merupakan satu kemudahan disediakan kerajaan kepada penduduk disini.
Ujarnya, dengan bangunan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan ini ia secara tidak langsung menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan awal lebih sempurna sebelum melanjutkan keperingkat rendah dan menengah.
“Kami amat berterima kasih dengan penyediaan bangunan baharu ini dan ia akan dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk kampung,” katanya. – MalaysiaGazette
















