Pemilik rumah, Amerjit Kaur, 82, menujukkan keadaan terkini kediamannya akibat dihempap pokok tumbang jenis Angsana berusia 130 tahun pada Khamis lalu di Jalan Batu Gantung, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Keadaan kediaman di Jalan Batu Gantung di sini, masih persis kawasan baru dilanda bencana apabila timbunan bumbung dan sebahagian pokok gergasi masih memenuhi pekarangan luar walaupun kejadian berlaku dua hari lalu.

Anak kepada pemilik rumah, Parveen Sidhu, 49, berkata, kerja pembersihan yang dijalankan MBPP setakat ini mencapai kira-kira 50 peratus dan keluarganya berharap proses itu dapat dipercepatkan memandangkan ibu bapanya masing-masing berusia lebih 80 tahun sudah tidak mampu berdepan keadaan itu lebih lama.

Jelasnya, kerosakan sebenar kediaman masih belum dapat dipastikan kerana timbunan runtuhan belum dialihkan sepenuhnya.

“Kami tak boleh tunggu terlalu lama. Selagi semua runtuhan ini belum dibersihkan, kami tak tahu lagi keadaan sebenar rumah kerana setakat ini hanya kerosakan pada bahagian luar dan bumbung yang dapat dilihat.

“Apa yang kami mahukan hanyalah semua kerosakan diselesaikan segera supaya ibu bapa saya boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Saya beri tempoh seminggu atau sehingga Jumaat depan untuk MBPP selesaikan semuanya supaya kerja pembaikan rumah boleh dimulakan segera kerana saya juga perlu kembali bekerja di ibu negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Amerjit mendakwa semua tanaman hiasan yang diusahakannya di laman rumah sebagai hobi musnah sepenuhnya akibat kejadian pokok tumbang itu.

Parveen Sidhu berkata, keluarganya kini sedang mendapatkan sebut harga daripada kontraktor sendiri sebelum diserahkan kepada MBPP bagi mempercepatkan proses pembaikan selepas dimaklumkan secara lisan bahawa pihak berkuasa tempatan itu akan menanggung kos kerosakan.

“MBPP memaklumkan secara lisan bahawa mereka akan menanggung kos pembaikan, malah seorang pegawai jabatan itu sudah datang membuat penilaian bagi mengenal pasti tahap kerosakan.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami masih belum dimaklumkan anggaran kos sebenar.

“Saya juga ingin tekankan semua agensi berkaitan perlu menyelaras tindakan dengan lebih sistematik ketika berdepan situasi bencana supaya mangsa tidak perlu menghubungi setiap agensi secara berasingan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Parveen Sidhu menggesa MBPP mendedahkan laporan pemeriksaan pokok Angsana berusia kira-kira 130 tahun itu, termasuk rekod pemeriksaan tahun lalu susulan dakwaan pokok berkenaan diselenggara serta berada dalam keadaan sihat.

“Kalau benar pokok itu sihat seperti didakwa, dedahkan laporan pemeriksaan tahun-tahun sebelum kejadian kerana ramai penduduk di kawasan ini sudah lama membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan pokok itu.

“Selain itu, berdasarkan keadaan pokok tersebut jelas menunjukkan ia berlubang di dalam serta akarnya reput,” katanya.

Dalam pada itu, Parveen Sidhu  turut memuji tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang disifatkannya banyak membantu sejak hari pertama kejadian.

Sementara itu, MBPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya bersetuju menanggung kos pembaikan bagi kerosakan yang berlaku kepada rumah-rumah berhampiran yang berpunca daripada kejadian pokok tumbang itu yang perlu dipersetujui bersama.

ARTIKEL BERKAITAN

Pokok Angsana tumbang hempap rumah, sudah diselenggara 2 kali – MBPP

Pokok 150 tahun tumbang: Jika kami di laman rumah, mungkin kehilangan nyawa

Pokok 150 tahun tumbang, bomba selamatkan warga emas terperangkap

MalaysiaGazette semalam melaporkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran mengesahkan pokok Angsana berusia kira-kira 130 tahun yang tumbang di Jalan Batu Gantung di sini, dipercayai berpunca daripada hujan lebat berserta angin kencang.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya pada bulan April lalu menunjukkan pokok Pterocarpus indicus (Angsana) tersebut berada dalam keadaan sihat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast