Sebatang pokok berusia lebih 150 tahun tumbang hingga mengakibatkan lelaki warga emas berusia 83 tahun terperangkap dalam kejadian di Jalan Batu Gantung, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – Pokok Angsana berusia kira-kira 130 tahun yang tumbang di Jalan Batu Gantung di sini, malam tadi sudah diselenggara dua kali iaitu pada Januari dan April lalu, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran.

Katanya, kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan dua rumah serta tiga kenderaan rosak selepas dihempap pokok berkenaan, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Menurut beliau, pokok daripada spesies angsana (Pterocarpus indicus) itu berketinggian kira-kira 25 meter dengan diameter sekitar 9.8 meter dan dianggarkan berusia lebih 130 tahun.

“Berdasarkan laporan awal ketika kejadian cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan hujan lebat bermula jam 7.15 malam hingga 9 malam.

“Turut dilaporkan berlaku angin kencang sekitar jam 8 malam di sekitar Stesen Meteorologi Bayan Lepas dengan kelajuan angin mencecah 40 kilometer sejam berdasarkan bacaan stesen cuaca Majlis di Persimpangan Jalan Macalister dan Jalan Perak (Japanese Garden),” katanya hari ini.

Menurut Rajendran, MBPP telah mengambil tindakan segera menjalankan kerja pembersihan sejurus selepas kejadian bagi memastikan laluan dapat dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan pokok tumbang bermula pada jam 9.15 malam dan laluan dibuka semula kepada orang awam 30 minit kemudian, manakala kerja pembersihan sisa pokok masih diteruskan di lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN

Pokok 150 tahun tumbang: Jika kami di laman rumah, mungkin kehilangan nyawa

Pokok 150 tahun tumbang, bomba selamatkan warga emas terperangkap

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang pemilik rumah yang kediamannya dihempap pokok, Amerjit Kaur, mendakwa penduduk sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada MBPP berhubung keadaan pokok berkenaan, namun tiada tindakan menyeluruh diambil.

Menurut wanita berusia 82 tahun itu, beliau dan suaminya mungkin kehilangan nyawa kerana kebiasaannya mereka menghabiskan waktu petang di laman rumah sekiranya kejadian berlaku ketika mereka berada di situ.

“MBPP perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan yang dialami, termasuk membayar ganti rugi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast