Jalex zlee Is n Xiang bersama Anuar Abd Manap

SEGAMAT – “Buat apa mahu tambah dosa kering sebaliknya bersaing secara sihat menangilah hati pengundi,” kata Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.03 Pemanis, Anuar Abd Manap.

Memasuki seminggu berkempen, penyandang kerusi DUN Pemanis itu tetap memilih untuk menyantuni pengundi tanpa memburukka parti lawan.

Ujarnya, kempen dibuat dengan suasana tanpa provokasi selain tidak menggunakan perkataan kasar atau maki hamun atau memfitnah mana-mana pihak.

Sebaliknya tugasnya perlu menunjukkan hasil kerja sebelum ini dan memberi yang terbaik buat rakyat pada masa akan datang jika diberi mandat.

Selepas penamaan calon pada 27 Jun lalu, Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di DUN Pemanis semakin panas apabila calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) saling melontarkan keutamaan masing-masing dalam usaha menawan hati pengundi.

Namun kedua-duanya sepakat bahawa persaingan perlu berlangsung secara sihat tanpa mencetuskan politik kebencian.

“Kempen pilihan raya negeri Johor pada kali ini, kita akan bertanding secara sihat dan kita sama-sama tunjukkan kekuatan masing-masing untuk pastikan peluang untuk menang itu ada bagi BN.

“Kita mahu bertanding secara sihat. Yang penting ialah menjaga imej Johor dan melaksanakan manifesto sebaik mungkin.

“Saya akan cuba jumpa sebebarapa banyak pengundi di kawasan Pemanis, kita kongsi apa yang kita buat dan akan buat lagi, buat apa nak buruk-burukkan orang lain. rakyat bijak,” kata kepada MalaysiaGazette.

Manakala calon PH, Jalex Lee En Xiang tampil dengan mesej DUN Pemanis memerlukan suntikan baharu menerusi agenda ekonomi yang lebih rancak, kestabilan politik dan perpaduan masyarakat.

Calon berusia 34 tahun itu berkata, sudah tiba masa, lebih banyak ruang diberikan kepada generasi muda untuk mencorakkan masa depan kawasan itu.

“Kita sama-sama bertanding dengan sihat. Yang paling penting demi rakyat dan demi negeri dan negara. Saya mahu membawa suara anak muda.

“Keutamaan saya ialah ekonomi, kestabilan dan perpaduan. Kita juga mahu mengembalikan anak-anak muda ke Pemanis dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan,” katanya.

Walaupun membawa pendekatan berbeza, kedua-dua calon dilihat cuba memenangi hati pengundi melalui tawaran dasar dan hala tuju pembangunan, bukannya serangan peribadi.

Persaingan di DUN Pemanis kini dilihat bukan sekadar perebutan satu kerusi malah menjadi pentas menguji sejauh mana pengundi menerima tawaran BN yang menekankan kesinambungan dan kestabilan, atau memilih agenda perubahan yang dibawa PH.

Dengan hari pengundian semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada sejauh mana kedua-dua calon mampu menterjemahkan janji kempen kepada keyakinan pengundi yang bakal menentukan masa depan DUN Pemanis.

Pada PRN Johor kali ini, pertembungan sengit saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan dan Calon PH, Jalex Lee En Xiang.

Pada 11 Julai depan rakyat di Johor akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor kali manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast