Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kritikan Khairy Jamaluddin terhadap manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tidak berasas sebaliknya menggesa beliau melihat semula prestasi pelaksanaan manifesto Barisan Nasional (BN) selepas PRN 2022.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, sebelum mempertikaikan tawaran PH, Khairy seharusnya bertanya mengapa masih terdapat manifesto BN yang belum dapat dilaksanakan walaupun gabungan itu mentadbir Johor secara bersendirian sejak pilihan raya negeri lalu.

“Khairy kena tanya balik kepada kerajaan BN yang menjadi kerajaan tunggal selepas PRN Johor 2022, mengapa manifesto kerajaan BN juga masih tidak dapat ditunaikan sepenuhnya kepada rakyat Johor.

“Kita tidak boleh hanya menuding jari kepada manifesto pihak lain tetapi pada masa sama mengabaikan janji yang pernah dibuat sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Danish berkata, 10 tekad yang ditawarkan PH bukan sekadar janji pilihan raya sebaliknya dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat dengan memberi penekanan kepada isu kos sara hidup, peluang ekonomi dan kebajikan.

Tawaran itu turut mengambil kira pengalaman pentadbiran PH di beberapa negeri yang berjaya melaksanakan pelbagai dasar berorientasikan rakyat.

“10 tekad ini berkisar tentang poket rakyat dan dirangka berdasarkan rekod pentadbiran PH di negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan yang telah membuktikan pelbagai inisiatif pro-rakyat boleh dilaksanakan.

“Ia bukan sekadar janji tetapi dibina berasaskan pengalaman mentadbir serta keupayaan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, manifesto PH juga disusun supaya selari dengan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap inisiatif dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.

Kesepaduan antara kedua-dua pentadbiran itu diyakini mampu mempercepat pelaksanaan dasar yang akhirnya memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat Johor.

Terdahulu, Khairy mendakwa manifesto PH bagi PRN Johor hanya merupakan copy paste daripada tawaran BN termasuk membabitkan aspek perumahan, golongan muda, ekonomi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau turut menyifatkan pengundi perlu memilih ‘yang asli’ berbanding ‘yang copy paste’, ketika berucap pada program kempen BN malam tadi di Ulu Tiram. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KJ dakwa manifesto PH copy paste tawaran BN

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast