KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam gaung berhampiran jejambat ASPA Cottage, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.18 malam.
“Pasukan bomba tiba di lokasi mendapati mangsa dan motosikal dinaiki jatuh ke dalam gaung anggaran kedalaman 20 meter.
“Dua anggota penyelamat menggunakan High Rope Rescue menuruni gaung untuk mendapatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas kesihatan setelah berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















