GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok dengan memakai pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Naib Pengerusinya, G. Mukkesh berkata, dakwaan itu perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej dan integriti pasukan polis, malah berkemungkinan melanggar tatakelakuan sebagai penjawat awam sekiranya dia merupakan anggota polis.
Katanya, terdapat juga penggunaan ungkapan yang tidak sopan ketika siaran langsung tersebut dan perkara itu turut wajar diberikan perhatian dalam siasatan.
“Selain memakai pakaian seragam polis, kedengaran juga bunyi komunikasi walkie-talkie dalam siaran langsung tersebut sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat ketika dia bertugas.
“Keadaan itu berpotensi mendedahkan suasana atau maklumat berkaitan tempat kerja.
“Jika benar ingin menjalankan aktiviti peribadi atau menjana pendapatan menerusi platform media sosial, ia sepatutnya dilakukan di luar waktu kerja dan bukan ketika memakai pakaian seragam polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan pemerhatian, siaran langsung berkenaan dipercayai berulang kali.
Katanya, keadaan ini boleh memberi persepsi negatif kepada masyarakat serta mencemarkan imej PDRM memandangkan waktu bertugas sepatutnya digunakan untuk melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan kepada anggota polis.
“Justeru saya gesa JIPS Bukit Aman menjalankan siasatan secara adil dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran peraturan atau tatakelakuan.
“Saya juga berharap pihak penyelia di balai serta pihak atasan dapat memberi peringatan kepada semua anggota di bawah seliaan mereka supaya tidak melakukan perkara sama, sekali gus memastikan imej dan integriti PDRM terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















