JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing berpendapat pengundi muda adalah kelompok penentu hala tuju negeri.
Justeru kata Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor itu, undi golongan tersebut amat penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan mereka perlu sedar serta wajib memainkan peranan.
“Saya yakin pengundi DUN Johor Jaya termasuk golongan muda bijak membuat keputusan,” katanya ketika ditemui.
Wern Yiing memberitahu, perjalanan politiknya bermula apabila menyertai pasukan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya Liow Cai Tung sebagai pegawai khas.
DUN Johor Jaya menyaksikan persaingan empat penjuru antara Wern Yiing; calon Barisan Nasional (BN), Chan San San; calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Lau Yi Leong dan calon Bebas, Lim Hun Peaw.
Sementara itu, San San yang merupakan ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, Wern Yiing merupakan pesaing utamanya dalam pertembungan empat penjuru itu.
Beliau yang merupakan anak jati Johor akan menggunakan pengalamannya berdamping dengan komuniti setempat untuk menarik hati pengundi.
“Saya sudah lebih 10 tahun bersama komuniti di sini sehingga ada yang menggelar saya sebagai YB, namun saya menyatakan sebenarnya saya bukan yang berhormat tetapi yang berkhidmat,” katanya.
San San bersyukur kerana dapat mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat berbilang bangsa selama ini sekaligus menyelesaikan isu setempat dihadapi masyarakat.
Menurutnya, kekalahannya dalam PRN Johor sebelum ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat dengan menggalas tanggungjawab sebagai ahli majlis.
“Pengalaman bersama rakyat mengajar saya bahawa masalah rakyat merupakan realiti yang mesti ditangani, bukan sekadar angka di atas kertas.
Selain menjadi ahli MBJB katanya, beliau juga menjadi bekas lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta bekas ketua masyarakat di Plentong.
“Sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat, saya akan berusaha memperkukuh ekonomi setempat dan menjadikan Johor Jaya sebagai hab pengangkutan di timur Johor Bahru yang menghubungkan penduduk dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) selain mahu menangani isu kesesakan lalu lintas.
“Buat masa ini terdapat sebuah terminal bas yang terbiar di Johor Jaya, saya yakin ia berpotensi untuk dihidupkan kembali kerana terletak di kawasan strategik.
“Malah saya berasakan sebuah laluan alternatif juga perlu diwujudkan dari Seri Alam ke Desa Cemerlang bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di lebuh raya Pasir Gudang,” katanya.
Ketika ini ujar beliau, jentera BN giat menjalankan kempen dan menerima sambutan baik serta menunjukkan perkembangan positif.
“Saya yakin setiap calon memiliki kekuatan sendiri dan saya menaruh harapan kepada kumpulan pengundi supaya berfikir matang serta bijak membuat penilaian,” katanya.- MalaysiaGazette
















