SEGAMAT –  Berbaki seminggu sebelum hari mengundi, ‘perang’ bendera dan poster yang lazimnya mewarnai setiap penjuru jalan pada musim pilihan raya masih belum benar-benar meletus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berbanding sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Segamat mendapati kebanyakan laluan utama, kawasan kampung dan lokasi strategik masih lengang daripada lautan bendera parti, berbeza dengan suasana hangat yang sering menjadi tradisi setiap kali pilihan raya.

Selain itu, bendera yang kelihatan hanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) manakala Bendera Perikatan Nasional (PN) kelihatan ‘sendu’.

Menurut sumber, kekangan kewangan antara faktor kelewatan PN memacak bendera di sekitar Segamat.

Difahamkan, kebanyakan jentera parti masih berada pada fasa akhir menyediakan bahan kempen sebelum gerakan pemasangan bendera dan poster dilakukan secara lebih menyeluruh dalam tempoh beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, perang kempen masih menang di platform digital kerana kebanyakan perkongsian kempen dibuat di platform sosial media seperti menerusi Facebook, TikTok, Instagram dan Thread.

Pada seminggu kempen aktiviti seperti ceramah politik, ziarah rumah ke rumah dan sesi bertemu pengundi sudah bermula, kebanyakannya masih berskala kecil dan tertumpu di bilik gerakan serta pejabat parti.

Mengikut peraturan, setiap penganjuran ceramah dan kempen awam perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan tempoh ceramah lazimnya tidak melebihi tiga jam dan berakhir sebelum  12 tengah malam.

Dengan hanya berbaki beberapa hari sebelum pengundian, pemerhati menjangkakan perang poster dan bendera akan memuncak dalam masa terdekat apabila semua parti memasuki fasa kempen paling kritikal bagi meraih sokongan saat akhir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai ini selepas proses penamaan calon selesai 27 Jun lalu.

Pada PRN Johor kali ini, saingan tiga penjuru di DUN Pemanis antara penyadangnya, calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan serta Calon PH, Jalex Lee En Xiang.

Pada PRN Johor 2022, calon BN, Anuar menang dengan 8,678 undi (50.33%) dan majoriti 4,187 undi. Calon PKR, Yoong Thau di tempat kedua dengan 4,491 undi (26.05%), diikuti calon PN, Uzzair Ismail dengan 3,825 undi (22.19%) manakala calon Pejuang, Azita Amrin hanya memperoleh 247 undi (1.43%) di DUN Pemanis.

Di DUN Buloh Kasap, penyandang Datuk Zahari Sarip (BN) mempertahankan kerusi  dengan majoriti 5,377 undi pada PRN lalu, kini bersaing dengan Noraziah Mohd Razit (PH).

Manakala DUN Jementah apabila penyandang, Ng Kor Sim (PH) hanya mempertahankan kelebihan tipis 714 undi sekali gus menjadikan saingan tiga penjuru bersama See Ann Giap (BN) dan Saifullah Abdul Wahab (PN).

DUN Kemelah menyaksikan K. Raven Kumar (BN) mempertahankan kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti 1,611 undi dicabar Mohd Afif Abd Hamid (PH) dan Uzzair Ismail (PN).

Di DUN Tenang, pertandingan empat penjuru membabitkan Mohd Azahar Ibrahim (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Normala Sudirman (PN) dan calon Bebas, Siti Aisyah Zobir di mana BN menang dengan majoriti 1,736 undi pada pilihan raya lalu.

Bagi DUN Bekok, penyandang Tan Chong (BN)  dengan  kemenangan majoriti 3,569 undi, berdepan tentangan Tay Yok Jiuen (PH) dalam saingan satu lawan satu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast