JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu seluruh jentera Barisan Nasional (BN) bekerja habis-habisan bagi mempertahankan Johor sambil menyasarkan kemenangan di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 11 Julai ini.
Beliau berkata, BN menghormati hak setiap parti politik untuk bertanding di semua kerusi DUN namun gabungan itu turut mempunyai tekad yang sama untuk mempertahankan mandat rakyat di Johor.
“Kita hormat demokrasi. Mereka ada hak meletakkan calon di 56 kerusi tetapi kita juga bertanding di 56 kerusi dan kita lawan untuk menang,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Tiram di Kota Masai malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, kemenangan hanya mampu dicapai sekiranya seluruh jentera terus bekerja keras sepanjang tempoh berkempen dan tidak terlalu yakin dengan sokongan yang diterima setakat ini.
“Jangan over confident. Kita mesti bekerja dahulu, kemudian bertawakal. Jangan bertawakal dahulu, kerja kemudian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman pahit yang dilalui UMNO dan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dijadikan pengajaran kepada semua ahli dan penyokong.
Katanya, ketika itu ramai yang menjangkakan UMNO akan berkubur selepas kehilangan kuasa namun parti itu berjaya bangkit semula hasil kesetiaan ahli serta kekuatan akar umbi.
“Ramai yang mahu menguburkan UMNO dan BN. Mereka sangka parti ini tidak mampu bangkit semula. Tetapi kita masih berdiri sehingga hari ini kerana ahli-ahli tidak pernah meninggalkan perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata, semangat itu perlu diterjemahkan dalam PRN Johor dengan memastikan setiap calon BN mendapat sokongan padu sehingga hari pengundian.
“Kerja kita belum selesai. Saya mahu semua jentera turun padang, bekerja bersungguh-sungguh dan pastikan Johor terus kekal di bawah pentadbiran BN,” katanya. – MalaysiaGazette
















