Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menggesa hampir 14,900 pengundi India di kerusi N.46 Perling memberikan sokongan penuh kepada calonnya daripada MIC, Pannir Selvam bagi mencipta sejarah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) India pertama mewakili kawasan itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan calonnya bukan sahaja penting kepada BN malah menjadi simbol peningkatan penyertaan masyarakat India dalam kepimpinan politik Johor.

“Kalau masyarakat India memberikan sokongan padu, beliau akan menjadi ADUN keturunan India pertama bagi DUN Perling. Kita mahu cipta sejarah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India di Perling Mall malam tadi.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Ahmad Zahid juga menyeru semua parti komponen mewakili masyarakat India dalam BN termasuk MIC, PPP, IPF dan Makkal Sakti supaya mengetepikan perbezaan serta bersatu memenangkan calon BN.

“Pengundi Melayu di Perling juga perlu memberi sokongan kepada calon MIC kita kerana kerjasama antara semua kaum sebagai faktor penting memastikan kemenangan BN,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, BN bukan sahaja mampu mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi pada 2022 malah berpotensi memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor, 11 Julai ini.

“Jentera BN perlu menggandakan usaha berkempen secara bersemuka termasuk mendekati pengundi dari rumah ke rumah bagi memastikan kemenangan di semua 56 kerusi DUN.

“Kita bukan sekadar mahu mempertahankan kemenangan lalu tetapi mahu melepasi angka 40 kerusi supaya kestabilan politik Johor menjadi lebih kukuh,” katanya.

Beliau turut memberi motivasi kepada calon BN N.46 Perling, Pannir Selvam supaya bekerja keras dan bijak sepanjang tempoh kempen.

Work hard and work smart. Saya yakin anda boleh menang,” katanya sambil memberi bayangan calon itu akan diberikan tanggungjawab lebih besar sekiranya berjaya memenangi kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast