PASIR GUDANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu dijadikan medan untuk mengembalikan zaman gabungan atau parti dominan dalam landskap politik negeri ini.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loe Siew Fook berkata, ini kerana pentadbiran yang dipimpin parti dominan sukar untuk melaksanakan proses semak dan imbang.
Jelas Setiausaha Agung DAP itu, dominasi politik melibatkan satu gabungan atau satu parti sahaja akan menguasai segala-galanya termasuk berbuat sesuka hati.
“Bagi dia suara kita, ada wakil kita (dalam kerajaan negeri). Kita seimbangkan kekuatan baru negeri ini jadi lebih maju, barulah tiada mana-mana pihak salah guna kuasa dan tidak timbul kerajaan yang sombong.
“Dahulu tidak ada, tiada siapa yang boleh tegur mereka. Mereka berkuasa penuh. Rasuah tiada siapa berani cakap (tegur) dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di pekarangan Pasaraya Jiason, Masai, di sini malam ini.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden Amanah, Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Anthony berkata, untuk itu PH menawarkan tiga calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Permas dan Johor Jaya.
Menurutnya, calon DUN Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani, calon DUN Permas, Sharon Teo dan Calon DUN Johor Jaya Lee Wern Yiing mampu memberi perkhidmatan dengan baik jika dipilih pada kali ini.
Sementara itu, Mohd Hatta berkata, rakyat perlu menolak Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor kali ini kerana matlamat sebenar bukan untuk kesejahteraan rakyat.
Dakwa beliau, tujuan PRN Johor sekiranya BN menang adalah untuk membebaskan seorang bekas pemimpin yang sudah dipenjarakan atas kesalahan rasuah.
“Kita harus memberi satu pengajaran kepada mereka dengan tidak mengundi mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazette

















kalau pulau pinang macam mana? kalau dia boleh.. orang lain tak boleh’