KUANTAN – Walaupun kelihatan tenang dan ceria di luar, hakikatnya hanya diri sendiri yang mengerti peritnya ujian yang sedang dilalui.
Begitu luahan bapa kepada seorang kanak-kanak yang didiagnos Leukemia, Nur Arissa Mohd Sabri, 11 ketika ditemui di kediamannya.
Menurut Mohd. Sabri Mohd. Rafdzi, 46, kurang dua bulan lalu, anak sulungnya itu masih seorang yang ceria dan aktif malah sangat rajin belajar sehingga sering menerima anugerah kecemerlangan akademik di sekolahnya.
Namun hari ini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempung itu lebih banyak berdiam kerana tubuh kecilnya semakin lemah dan air mata sudah menjadi teman setianya.
“Mulanya pada 18 Mei hari tu dah nampak dia muka pucat dan mengadu sakit perut. Kami bawa ke klinik dan doktor pun ambil darah dan buat ujian.
“Apabila doktor beritahu keputusan darah dia tak cantik, kami diberi surat rujukan untuk terus ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) malam hari yang sama. Baru lah kami tahu dia ada kanser darah ni,” katanya.

Jelasnya, Nor Arissa disahkan menghidap Leukemia dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sembilan hari selepas itu bagi mendapatkan rawatan pakar di sana.
Katanya, Nor Arissa kini dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selepas keputusan ujian sumsum tulang mendapati sel kanser masih berada pada kadar 17 peratus.
Berdasarkan keputusan itu, katanya Nor Arissa memerlukan rawatan lebih agresif termasuk kemoterapi dan prosedur pengambilan air sumsum tulang secara berkala.
“Setakat ini Arissa sudah dua kali menjalani prosedur pengambilan air sumsum tulang dan Isnin ini kali ketiga. Selepas setiap sesi kemoterapi dia akan menjadi terlalu lemah, muntah, hilang selera makan dan badannya terasa panas.
“Kalau bacaan darahnya tidak memuaskan, rawatan juga terpaksa ditangguhkan. Doktor memaklumkan keseluruhan rawatan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd Sabri memaklumkan ujian lebih besar perlu dihadapi dia dan isteri apabila anak bongsunya berkemungkinan perlu menjadi penderma sumsum tulang sekiranya keputusan ujian keserasian genetik yang dijadualkan pada September depan menunjukkan padanan sesuai.
“Sebagai ibu bapa memang berat untuk buat keputusan. Doktor pun faham perasaan kami, tetapi kalau adiknya serasi, dia mungkin perlu membantu kakaknya. Kami hanya mampu berserah dan berharap semuanya dipermudahkan.
“Terpaksalah dia berkorban untuk kakaknya. Kami sedar bahaya juga untuk dia kerana masih kecil, baru berusia 6 tahun. Tapi kalau nak tunggu giliran penderma memang memakan masa yang sangat lama,” jelasnya.
- Hasma Husain
Mohd Sabri berkata, sepanjang sebulan lebih ini, dia dan isterinya, Hasma Husain, 39, terpaksa berjaunan kerana isterinya menemani Nor Arissa sepanjang berada di hospital di Terengganu.
Manakala dia pula menjaga seorang lagi anak mereka di Kuantan sambil terus bekerja sebagai pemandu lori.
Mohd Sabri bagaimanapun mengakui pendapatannya sedikit terjejas kerana terpaksa kerap mengambil cuti selain berulang-alik ke Kuala Terengganu setiap minggu yang menelan kos kira-kira RM300 bagi setiap perjalanan.
“Kos rawatan memang ditanggung sepenuhnya menggunakan surat daripada pihak sekolah, tetapi perbelanjaan harian tetap tinggi. Anak pula tidak boleh makan makanan hospital, jadi kami perlu membeli makanan yang sesuai di luar kerana doktor mahu dia terus makan untuk menguatkan antibodi.
“Saya tak fikir lagi soal duit. Apa yang ada, saya gunakan sahaja. Kalau ada ubat yang mahal sekalipun, saya sanggup jual apa sahaja yang saya miliki asalkan anak kembali sihat seperti dulu,” katanya.
Sementara itu, Hasma mengakui detik paling sukar sebagai seorang ibu ialah ketika pertama kali menjelaskan kepada Nor Arissa bahawa dia menghidap kanser, itu pun selepas beberapa kali ditangguhkan kerana tidak sanggup melihat anaknya menerima hakikat tersebut.
Bukan itu sahaja, dia juga mengakui tidak sanggup melihat anaknya menangis setiap hari ketika menjalani prosedur rawatan akibat kesakitan.
Namun, empat sekeluarga ini berharap agar Nor Arissa cepat sembuh selepas tempoh rawatan dua tahun lagi dan kembali ceria seperti sediakala.
Justeru, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun AmBank 8881034814386 atas nama Mohd Sabri Mohd Rafdzi. – MalaysiaGazette
















