Anwar berucap pada Program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru malam ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor tidak seharusnya menumpukan projek pembangunan mega semata-mata tetapi terlepas pandang masalah dan keperluan rakyat yang masih belum terbela.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan kemudahan asas untuk rakyat termasuk di kampung dan Felda perlu diberi perhatian dan penyelesaian.

Jelasnya, tidak ada gunanya mengeluh pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dimeterai kerana projek tetap berjalan dan puluhan bilion ringgit dana masuk direkodkan.

Katanya, peruntukan yang diterima di Johor adalah lebih tinggi berbanding negeri lain seperti Perak, Selangor atau Pulau Pinang kerana negeri itu mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi penting di rantau ini.

“Selalu saya tekankan, jadi Menteri Besar, jangan kita ingat projek besar-besar sahaja. Mengenai JS-SEZ, RTS, itu kerajaan Persekutuan (selesaikan).

“Soal jalan kecil-kecil, surau, rumah-rumah rakyat dan rumah generasi kedua, itu kerajaan negeri, tolong buatlah. Yang puluh-puluh bilion itu saya bantu, kerja saya, yang lain.

“Saya pergi ke rumah kos rendah, teruk keadaan dia, ini rumah milik negeri, baikilah sikit,” katanya ketika berucap pada Program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau di sini malam ini.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor perlu bersikap adil dan baik dengan semua pihak.

Ujarnya, Johor merupakan negeri yang maju dan berpotensi besar untuk dimahukan namun perlu adalah beberapa perubahan supaya lebih prihatin pada orang yang susah.

“Johor Bahru ini kota yang segar, rancak pembangunannya dan pertumbuhannya maju, antara pembangunan yang membanggakan di rantau ini. Tapi setengah jam daripada situ, nampak kawasannya daif,” katanya.

Anwar berkata, golongan orang muda harus bijak memilih pemimpin Melayu yang bermaruah supaya pemikiran soal ‘Cina nak ambil alih’ (negara) tidak lagi terjadi.

“Ini tidak, pergi ke kawasan Felda, marah orang, jumpa penjawat kerajaan, marah orang, jumpa anak muda, ajar sana ajar sini tapi kalau tengok orang besar sikit, tersengih-sengih.

“Saya ada menghadap Pemangku Sultan Johor, dalam sistem raja kita kena jaga dan muliakan. Tetapi, bezanya saya apa? Saya cakap dengan baik. Ampun Tuanku, ini masalah-masalah yang kita kena dengar, Tuanku dengar.

“Kenyataan kita kena sampaikan, saya ada mandat, saya dengar pendengaran rakyat. Felda kata apa? Rumah rakyat kata bagaimana? Masjid yang buruk, daif bagaimana? Sekolah-sekolah daif bagaimana? Ini saya kena sampaikan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast