KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Quality Assurance Conference 2026 (QAC2026) baru-baru ini bagi membincangkan hala tuju jaminan kualiti pendidikan tinggi dalam menghadapi era transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian.
Bertemakan “Reimagining QA in the Era of Digital, AI and Sustainability” anjuran Pusat Jaminan Kualiti (CQA) itu berlangsung secara dalam talian.
Ia menghimpunkan seramai 146 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi universiti, pegawai jaminan kualiti, ahli akademik, wakil agensi kerajaan, badan profesional serta industri.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor ketika merasmikan persidangan itu berkata, transformasi digital, AI dan kelestarian merupakan pemacu utama dalam memperkukuh sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi agar lebih dinamik, responsif dan berimpak.
“Jaminan kualiti perlu berkembang daripada sekadar memenuhi keperluan pematuhan kepada pendekatan strategik yang mampu memacu inovasi, memperkukuh daya tahan institusi serta menyokong penambahbaikan berterusan dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Persidangan itu menampilkan enam penceramah mewakili SIRIM Academy, UMS, Universiti Putra Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Institut Kualiti Malaysia (IQM) dan Jesselton University College.
Antara topik yang dibincangkan ialah transformasi jaminan kualiti melalui AI, pembinaan ekosistem jaminan kualiti berteraskan nilai dan impak, strategi jaminan kualiti dalam pendidikan tinggi, AI, integriti akademik dan pembelajaran masa hadapan.
Turut dibincangkan adalah komunikasi strategik serta kecerdasan data dalam pengurusan universiti selain peranan institusi profesional dalam memperkukuh budaya kualiti, selain kelestarian kualiti akademik menerusi pembelajaran fleksibel dan pematuhan kepada piawaian global.
Sementara itu, Pengarah CQA UMS, Prof. Madya Agnis Sombuling berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu, amalan terbaik serta jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, badan profesional dan sektor industri dalam mendepani landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar.
Katanya, perkembangan pesat teknologi digital dan AI memerlukan institusi pendidikan tinggi mengadaptasi pendekatan jaminan kualiti yang lebih strategik, inovatif dan fleksibel bagi memenuhi keperluan pelajar, industri serta masyarakat.
Penyertaan peserta daripada pelbagai universiti, agensi kerajaan, badan profesional dan organisasi industri di seluruh negara mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya kualiti serta memantapkan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi yang mampan dan berdaya saing. -MalaysiaGazette
















