Logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

KUALA LUMPUR – Seramai 3.04 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) warganegara Malaysia telah mencapai simpanan asas mengikut umur iaitu RM390,000 pada usia 60 tahun sejak 31 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, jumlah itu mewakili 38.3 peratus daripada keseluruhan 7.94 juta ahli yang berumur antara 18 hingga 60 tahun.

Menurutnya, ia peningkatan yang jelas dan memberangsangkan berbanding 35.0 peratus atau 2.71 juta daripada 7.74 juta ahli mengikut umur pada 31 Mei 2025.

“Kerajaan dan KWSP akan terus memperkukuh kerjasama erat dalam merangka dasar dan mekanisme kewangan yang holistik termasuk penambahbaikan insentif caruman dan perlindungan sosial bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan serta menjamin kesejahteraan kewangan ahli KWSP pada masa hadapan.

“Usaha yang dilaksanakan oleh KWSP ini secara langsung telah membantu meningkatkan tahap simpanan ahli dengan ukuran kecukupan simpanan dinilai berdasarkan pencapaian simpanan asas mengikut umur yang ditetapkan,” katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta apakah langkah dan strategi kerajaan bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan dan pendapatan persaraan yang mencukupi khususnya simpanan dalam kalangan ahli KWSP yang masih menjadi kebimbangan bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan peralihan Malaysia ke arah negara menua menjelang tahun 2030.

Mengulas lanjut, Chin Tong memberitahu, pelbagai langkah dan inisiatif telah, sedang dan akan dijalankan oleh KWSP bagi membantu ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

Antaranya kata beliau, penstrukturan semula akaun KWSP daripada dua akaun kepada tiga akaun bagi mengimbangi keperluan simpanan jangka panjang dengan keperluan jangka pendek dan sederhana:

“Akaun Persaraan iaitu akaun khusus untuk simpanan hari tua, di mana agihan caruman telah ditingkatkan daripada 70 peratus kepada 75 peratus.

“Akaun Sejahtera pula bagi tujuan untuk pengeluaran bersyarat seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain tujuan yang dibenarkan, dengan agihan caruman sebanyak 15 peratus.

“Selain itu, Akaun Fleksibel untuk keperluan jangka pendek dan kecemasan, dengan agihan caruman sebanyak 10 peratus,” katanya.

Chin Tong menambah, bagi memperkukuh liputan caruman KWSP termasuk peluasan penyertaan secara sukarela melalui program i-Saraan bagi golongan yang bekerja sendiri, pekerja sektor tidak formal dan gig.

Mulai tahun 2026 juga katanya, kerajaan juga memperkenalkan i-Saraan Plus yang direka khusus untuk pekerja e-hailing dan p-hailing berasaskan platform dengan menawarkan had maksimum insentif tahunan sebanyak RM600, sehingga RM6,000 seumur hidup, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast