JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, J. Kartiyaini mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Johor bahawa calon Barisan Nasional (BN) yang tewas tidak akan menjadi ADUN Lantikan.
Menurut peguam berusia 37 tahun itu, kenyataan tersebut menimbulkan satu persoalan politik yang wajar dijawab secara terbuka.
“Jika benar hanya calon yang menang akan diberi pertimbangan, adakah ini bermaksud kuota ADUN Lantikan telah pun mempunyai persefahaman tertentu dengan pihak lain?
“Lebih menarik lagi apabila Pas tidak meletakkan calon di kebanyakan kerusi. Ini secara semula jadi menimbulkan persoalan sama ada wujud satu bentuk persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pas termasuk kemungkinan berkaitan pelantikan ADUN Lantikan sekiranya BN membentuk kerajaan.
“Saya tidak membuat tuduhan. Namun, dalam sebuah demokrasi yang matang, persoalan seperti ini adalah wajar dijawab demi memastikan ketelusan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat Johor berhak mengetahui sama ada terdapat sebarang rundingan atau perjanjian politik yang tidak diumumkan kepada umum.
Jika tiada, katanya, maka Onn Hafiz dan kepimpinan BN boleh menafikannya secara jelas.
“Politik yang telus tidak seharusnya meninggalkan ruang untuk spekulasi. Cara terbaik menamatkan persoalan ini ialah dengan memberikan penjelasan yang terus terang kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar bersama-sama tiga calon PH yang lain di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini hari ini, beliau berkata, jika PH mendapat mandat di negeri ini akan berusaha membentuk sebuah bandar raya yang membolehkan warga emas hidup dengan selesa, dihormati dan dijaga dengan baik.
Pada masa yang sama, katanya, PH mahu memastikan keluarga yang tidak dapat menjaga warga emas sepanjang hari boleh keluar bekerja atau belajar dengan lebih tenang.
Oleh itu, pihaknya akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
Menambah baik ruang pejalan kaki, taman dan kemudahan pengangkutan awam supaya dapat digunakan dengan selamat oleh warga emas.
Memperkukuh kerjasama antara institusi perubatan, agensi kebajikan dan pertubuhan komuniti.
Menambah pusat aktiviti dan perkhidmatan sokongan warga emas dalam komuniti, serta menganjurkan aktiviti masyarakat bagi mengurangkan kesunyian dan pengasingan sosial dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian.
Menyediakan maklumat dan sokongan yang lebih jelas kepada keluarga yang menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia.
Jelasnya, matlamat PH adalah untuk memberikan ketenangan kepada warga emas dan keluarga mereka, supaya golongan muda dapat berusaha membina masa depan, manakala warga emas pula dapat menikmati usia tua dengan selesa dan bermaruah.
Turut hadir dalam sidang akhbar itu Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai), Lee Wern Yiing (Johor Jaya) dan Nor Zulaila (Tiram). – MalaysiaGazette
















