KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menerima sokongan penuh rakyat kerana membuktikan dirinya sebagai Perdana Menteri paling tegas dalam usaha membanteras rasuah, termasuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Profesor Adjung Universiti SEGi, Dr. Sarraf Rajesh berkata, sejak menerajui pentadbiran negara, Anwar menunjukkan komitmen yang konsisten dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam urus tadbir kerajaan.
Menurutnya, pendekatan perdana menteri bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan undang-undang, malah turut membudayakan tadbir urus yang beretika, profesional dan bertanggungjawab.
“Langkah-langkah yang diperkenalkan mencerminkan iltizam tinggi untuk memastikan Malaysia dibangunkan berasaskan prinsip keadilan, kejujuran dan pentadbiran yang bersih demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
“Rasuah merupakan antara cabaran terbesar yang telah lama membelenggu negara. Ia bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara, malah memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Sarraf berkata, usaha membanteras rasuah bukan sekadar agenda politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional yang akan menentukan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Katanya, usaha tersebut memerlukan keberanian politik, ketegasan kepimpinan, kesabaran serta kesediaan berdepan pelbagai cabaran dan tentangan.
Pada masa sama, beliau berkata, semua parti dalam Kerajaan Madani turut memikul tanggungjawab untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara agar kerajaan dapat memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.
“Kejayaan membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, setiap pihak sewajarnya mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan politik sempit,” katanya.
Beliau berkata, persaingan politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya mengganggu usaha kerajaan melaksanakan reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sebaliknya, katanya, kerjasama yang membina antara semua pihak akan mempercepat pencapaian matlamat nasional, mengukuhkan keyakinan rakyat, meningkatkan daya saing ekonomi serta memperkukuh kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.
“Saya percaya komitmen kerajaan yang dipimpin Anwar dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan satu langkah yang amat penting demi masa depan Malaysia.
“Semoga usaha murni ini terus diperkasakan sehingga penghujung penggal pentadbiran. Dengan kepimpinan berwawasan, sokongan padu rakyat serta kerjasama semua pihak, Malaysia berpotensi muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar berintegriti, bebas daripada amalan rasuah, dihormati di peringkat antarabangsa serta menjadi contoh kecemerlangan tadbir urus kepada dunia,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat parti politik yang berpakat untuk menjatuhkannya kerana kerajaan pimpinannya tegas membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut beliau, pentadbiran Kerajaan Madani yang tidak berkompromi terhadap amalan mencuri wang rakyat atau menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi menjadi punca rasa tidak senang segelintir pihak. – MalaysiaGazette
















