Pendaki berjalan melepasi papan tanda amaran beruang di kawasan Okutama di pinggir Tokyo pada 14 Jun 2026, ketika pihak berkuasa tempatan menggesa pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan laporan penampakan beruang di kawasan itu. foto AFP

SAPPORO – Empat pendaki yang terkandas di gunung dekat Hokkaido selama tiga jam setengah diselamatkan menggunakan helikopter selepas terserempak dengan seekor beruang perang, menurut polis.

Kejadian berlaku pada hari Sabtu kira-kira pukul 2.30 petang apabila seorang lelaki berusia lingkungan 60-an ternampak seekor beruang kira-kira 50 meter di hadapan laluan ketika sedang menuruni gunung setinggi 2,141 meter itu.

Menurut polis, beruang berkenaan dianggarkan sepanjang 1.5 meter.

Tiga lagi pendaki kemudian menyertai lelaki itu dan pada kira-kira pukul 4.50 petang, salah seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan selepas kumpulan itu tidak dapat meneruskan perjalanan kerana kehadiran beruang tersebut.

Tiada mangsa dilaporkan cedera.

Insiden terbaharu itu berlaku ketika Gunung Rausu di Semenanjung Shiretoko, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Dunia, dibuka semula kepada pendaki pada hari Ahad.

Laluan pendakian ke gunung setinggi 1,660 meter itu ditutup sejak Ogos tahun lalu selepas seorang pendaki berusia 26 tahun maut diserang beruang.

Susulan tragedi itu, Kementerian Alam Sekitar Jepun bersama pihak berkuasa tempatan turut mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan kejadian sama berulang, termasuk memperkenalkan sistem amaran kehadiran beruang perang yang dibahagikan kepada empat tahap.

Peningkatan jumlah penampakan beruang serta kes serangan yang menyebabkan kecederaan membimbangkan pihak berkuasa, yang kini giat menilai habitat haiwan liar itu.

Dalam kejadian berasingan di Wilayah Akita, timur laut Jepun, seorang lelaki berusia 83 tahun diserang seekor beruang ketika memetik sayur-sayuran hutan pada pagi Ahad.

Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan muka, namun masih sedar dan mampu berkomunikasi ketika dibawa ke hospital, kata polis. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast