Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyantuni masyarakat DUN Kempas pada Program Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Pengundi DUN Kempas di Restoran Zaidi Roti Canai, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Semua calon Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya berjuang habis-habisan untuk memenangi kerusi masing-masing dan tidak bergantung kepada kemungkinan menerima jawatan lantikan sekiranya tewas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap calon perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mendapatkan mandat rakyat.

“Jangan rasa selesa dan kalau kalah pun akan dilantik sebagai lantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan. Saya rasa itu maksudnya Datuk Onn Hafiz Ghazi, bukannya ada maksud lain.

“Bekerjalah sehingga saat terakhir untuk mendapatkan sokongan yang baik daripada pengundi. Jangan rasa kalau kalah pun, dia akan dilantik sebagai ADUN Lantikan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Program Minum Petang calon BN N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani di Zaidi Roti Canai, Taman Anggerik, Kempas petang tadi.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak hanya mendekati rakyat ketika musim pilihan raya sahaja kerana hubungan berterusan dengan masyarakat merupakan kunci utama mengekalkan kepercayaan pengundi.

“Jangan hanya turun padang apabila hendak pilihan raya. Bila sudah menang, teruskan bersama rakyat. Kalau sentiasa turun padang, tidak akan timbul masalah apabila berdepan pilihan raya semula,” katanya.

Mohamad juga menjadikan calon BN N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani sebagai contoh pemimpin yang sentiasa bersama masyarakat sehingga mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat

“Kalau kita selalu turun padang, tak ada masalah macam Datuk Ramlee, dia memang bersama dengan masyarakat. Jadi Alhamdulillah senang kita buat kerja, senang kita membantu beliau untuk menghadapi Pilihan raya yang datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast