Mohamad ketika bertemu jentera BN semasa mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, Iskandar Puteri, malam ini.

ISKANDAR PUTERI – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan cadangan debat antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan Dr Maszlee Malik hanya buang masa.

Mohamad berkata, tiada keperluan untuk mengadakan debat tersebut dan itu merupakan agenda yang dimainkan Pakatan Harapan (PH) ketika Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbaki empat hari lagi.

Katanya, adalah lebih baik semua calon-calon yang bertanding menumpukan kepada gerak kerja mendekati pengundi bagi meraih sokongan.

“Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang-buang masa berdebat-debat, kan?

“Buat kerja sajalah dan bagilah orang Johor buat keputusan. Dalam pada kita debat-debat, entah apa perkara yang kita cakap tak elok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, di sini malam ini.

Yang turut hadir ialah Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Terdahulu, Menteri Besar Johor menegaskan tiada keperluan untuk beliau menyertai Dialog PRN Johor bersama Maszlee kerana kedua-duanya tidak bertanding di kerusi DUN yang sama.

Menurut beliau, Maszlee bertanding di DUN Puteri Wangsa, manakala beliau mempertahankan kerusi DUN Machap.

“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia yang lari daripada Simpang Renggam.

“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun berdialog, dia carilah orang di sana. Apa kena-mengena dengan kawasan saya di Machap ataupun Simpang Renggam?” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, persiapan dan gerak kerja jentera BN tersusun setelah UMNO sebagai terasnya mempunyai jentera akar umbi yang kuat.

“Saya lihat gerak kerja disusun dengan teratur dan dilakukan dengan baik. Kita mempunyai beberapa hari saja lagi untuk kita menyantuni seramai mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, insya-Allah,” ujarnya yang mesra dipanggil Tok Mat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast