Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pihaknya kini memberi tumpuan kepada rawatan perubatan mangsa serta penyediaan sokongan psikososial kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting susulan insiden tikaman yang berlaku di sekolah itu, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah berada di lokasi kejadian dan dimaklumkan polis telah mengambil semua langkah keselamatan yang diperlukan termasuk menahan suspek.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan sewajarnya di samping membantu guru serta pelajar yang terkesan dengan insiden berkenaan.

“Saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau mereka-reka fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh pihak PDRM.

“Semoga tuan pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar diberikan kesabaran serta kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam mengendalikan insiden berkenaan.

Fadhlina berkata, sebarang perkembangan berkaitan kes itu akan dikongsikan dari semasa ke semasa selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa memandangkan siasatan masih berjalan.

Awal hari ini, seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 14 kali di belakang oleh seorang wanita di sebuah sekolah di Banting, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi, yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila seorang wanita berpakaian serba hitam sedang memegang sebilah pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette

Kira-kira 14 tikaman di belakang anak saya – Bapa mangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast