Oleh: Ismail Hashim Yahaya
ADA satu persoalan yang perlu direnungkan oleh semua pihak dalam PRN Johor kali ini: mengapa naratif kerjasama yang terbukti berkesan di peringkat pusat seolah-olah tenggelam di pentas negeri, sedangkan pembangunan Johor sedang berkembang pesat di bawah kerjasama itu sendiri?
Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, hubungan antara BN dan PH di peringkat persekutuan berada pada tahap paling stabil. Pengerusi BN sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan kepimpinan kedua-dua gabungan tidak pernah bergaduh dan tidak pernah bermanja serta sentiasa bersikap profesional dan matang dalam berpolitik.
Mereka membezakan tanggungjawab sebagai rakan dalam Jemaah Menteri dengan persaingan politik di peringkat negeri. Kenyataan ini menunjukkan kerjasama bukan sekadar retorik—ia adalah realiti pentadbiran yang terbukti berfungsi dan ia telah membawa hasil yang boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat Johor.
Fakta pembangunan Johor tidak boleh dinafikan. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus mencatat perkembangan positif dengan pelaburan diluluskan RM76.98 bilion pada 2025, dan 57 peratus daripadanya sudah berada di peringkat pelaksanaan. Pada suku pertama 2026 sahaja, tambahan RM5.49 bilion pelaburan diluluskan. Ini adalah angka yang tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan nNegeri seperti yang ditekankan oleh Menteri Besar Johor sendiri.
Malah, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ini adalah pengakuan terbuka bahawa pembangunan pesat Johor hari ini adalah hasil sinergi antara dua pentadbiran yang kini berbeza gabungan.
Projek-projek seperti RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, peningkatan kapasiti pelabuhan di Pasir Gudang dan pembangunan infrastruktur di sekitar Iskandar Malaysia semuanya berjalan lancar kerana adanya kestabilan politik di peringkat pusat yang membolehkan peruntukan dan kelulusan diberikan tanpa gangguan.
Di sinilah letaknya persoalan yang perlu direnungi: jika kerjasama PH-BN di peringkat pusat telah terbukti membawa manfaat besar kepada Johor, mengapa ada pihak yang masih mahu mencetuskan naratif konflik? Beberapa pemimpin BN melihat PRN Johor sebagai test case untuk menguji kemampuan bertanding secara solo, dengan harapan kemenangan besar di Johor menjadi pencetus kebangkitan semula BN di peringkat nasional. Ada juga yang berpendapat pentadbiran solo membolehkan keputusan dibuat lebih pantas tanpa perlu berunding dengan parti lain.
Namun, persoalannya: adakah membuat keputusan mengadakan PRN awal bermakna ia lebih baik bagi UMNO atau BN? Jika kerjasama selama tiga tahun telah menghasilkan pelaburan RM329 bilion di peringkat nasional dan RM76.98 bilion khusus untuk Johor, apakah rasionalnya mahu kembali ke model konflik yang hanya akan mengganggu momentum pembangunan?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan PRN Johor bukan pilihannya kerana beliau lebih memilih untuk meneruskan kerjasama dan menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi. Beliau memberi contoh kekuatan ringgit yang pulih dan keyakinan pelabur sebagai hasil daripada kestabilan politik yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.
Ini adalah pengakuan daripada pemimpin tertinggi bahawa konflik bukanlah jalan yang menguntungkan sesiapa pun. Sehubungan itu, semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Anwar menyeru pengundi Johor memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negeri berkenaan bagi membawa perubahan lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan tadbir urus yang bersih.
Apa yang lebih membimbangkan ialah perkembangan Pas secara terbuka mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Tindakan ini telah menyebabkan PRN Johor dilihat sebagai ujian kepada perkongsian tidak rasmi antara UMNO dan Pas—apa yang digelar sebagai ‘Muafakat Nasional 2.0’.
Penganalisis politik Wong Chin Huat menyifatkan tindakan Pas ini sebagai pedang bermata dua—ia mungkin menarik lebih banyak undi nasionalis Melayu kepada BN, tetapi pada masa yang sama ia juga boleh menjauhkan undi bukan Melayu dan pengundi liberal daripada BN.
Dalam erti kata lain, UMNO Johor nampaknya lebih selesa dengan penjajaran tidak rasmi bersama Pas berbanding rakan kongsi rasmi mereka di peringkat persekutuan iaitu PH. Ini adalah bahaya sebenar naratif konflik yang dimainkan di Johor.
Ia bukan sekadar persaingan pilihan raya biasa—ia adalah percubaan untuk menulis semula landskap politik dengan mengorbankan kestabilan yang telah dibina di peringkat Pusat. Jika BN menang besar di Johor melalui strategi solo dan dengan sokongan tidak langsung daripada Pas, apa implikasinya terhadap Kerajaan Perpaduan di Putrajaya?
Bagaimana kesan kepada pembangunan persekutuan di Johor? Adakah ini akan mencetuskan ketidakstabilan baharu di peringkat nasional? Ini adalah persoalan yang perlu difikirkan oleh setiap pengundi yang ingin melihat Johor terus maju.
Apa yang menjadi tanda tanya besar, jika UMNO Johor benar-benar yakin dengan pencapaian mereka selama tiga tahun mentadbir negeri, mengapa perlu menggunakan naratif ketakutan terhadap DAP? Mengapa perlu menolak kerjasama yang terbukti berkesan di peringkat pusat? Mengapa perlu menerima sokongan PAS yang tidak pernah membawa pembangunan ke Johor? Ini bukan strategi untuk membina negeri—ini adalah strategi untuk meraih kuasa dengan mengorbankan perpaduan.
Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan, rakyat Johor tak minat dengan politik tetapi lebih prihatin terhadap isu sebenar seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, gaji, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan ekonomi negeri. Rakyat Johor sudah matang dan mampu menilai pemimpin berdasarkan prestasi, bukan retorik lama yang penuh dengan ketakutan dan perpecahan. Kenyataan ini mencerminkan sentimen sebenar rakyat Johor yang lebih mementingkan hasil berbanding retorik.
Mereka mahu melihat projek diteruskan, pelaburan terus masuk, dan peluang pekerjaan terus bertambah—bukan melihat pemimpin bertelagah sesama sendiri. Apa yang perlu difahami ialah kerjasama bukan tanda kelemahan tetapi strategi matang untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan.
Hubungan profesional antara BN dan PH di peringkat pusat membuktikan perbezaan politik tidak perlu membawa kepada permusuhan. Ini adalah model yang boleh dicontohi, bukan ditentang. Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan, isu sebenar bukanlah siapa sokong siapa lebih jauh lagi ialah kestabilan Kerajaan Perpaduan yang telah membawa kejayaan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
Kestabilan inilah yang membolehkan Malaysia menyerap kesan daripada krisis global dan terus menarik pelabur asing. Apabila pelabur melihat kestabilan politik, mereka yakin untuk melabur. Apabila mereka melabur, pekerjaan tercipta. Apabila pekerjaan tercipta, ekonomi rakyat bergerak. Ini adalah rantai manfaat yang tidak boleh diputuskan oleh naratif konflik yang hanya bertujuan untuk meraih undi jangka pendek.
Johor sedang berada di persimpangan. Di satu pihak, pembangunan pesat yang sedang berlaku adalah hasil daripada kerjasama walaupun kerjasama itu berlaku di peringkat pusat dan bukan di peringkat negeri. Di sisi lain, ada usaha untuk membawa Johor ke arah konflik yang hanya akan mengganggu momentum ini. Persoalan yang perlu ditanya oleh setiap pengundi Johor bukanlah parti mana yang patut menang justeru bagaimana kita mahu pembangunan Johor diteruskan?
Jika kerjasama PH-BN di peringkat pusat telah terbukti membawa hasil, mengapa tidak meneruskan semangat yang sama ke peringkat negeri? Inilah agenda menang-menang yang sepatutnya menjadi teras perbincangan, bukan naratif konflik yang hanya menguntungkan segelintir pihak yang tiada tawaran pembangunan.
Johor memerlukan kestabilan berterusan untuk memastikan projek-projek seperti JS-SEZ dan RTS Link dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Apabila projek-projek ini siap, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh segelintir selanjutnya oleh seluruh rakyat Johor dalam bentuk peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah, dan kemudahan pengangkutan yang lebih baik.
Akhirnya, yang menentukan masa depan Johor bukanlah siapa yang paling lantang berkempen tetapi siapa yang mampu membawa manfaat nyata kepada kehidupan rakyat dan manfaat itu, setakat ini terbukti datang daripada kerjasama, bukan konflik. Sejarah telah menunjukkan negeri-negeri yang bergaduh dengan Kerajaan Pusat tidak pernah maju—lihat apa yang berlaku di negeri-negeri yang diterajui Pas yang mana projek terbengkalai dan pelabur beralih ke tempat lain.
Sebaliknya, Johor yang selama tiga tahun terakhir menikmati hubungan baik dengan Putrajaya telah mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam dekad. Ini bukan kebetulan. Ini adalah hasil daripada pilihan politik yang meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan parti.
Dalam jangka masa panjang, rakyat Johor akan mengingati siapa yang memilih untuk membina dan siapa yang memilih untuk merosakkan. Mereka akan mengingati siapa yang sanggup bekerjasama demi kebaikan bersama dan siapa yang sanggup menggadaikan masa depan negeri demi kuasa semata-mata.
Maka, persoalannya kini kembali kepada setiap individu: apakah kita mahu meneruskan momentum pembangunan ini, atau kita mahu membiarkan naratif konflik menghancurkan apa yang telah susah payah dibina? Pilihan itu, seperti biasa, ada di tangan rakyat.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangan isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
















