JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mahu membina negeri yang bukan sahaja berkembang ekonomi tetapi turut menyokong keluarga muda, memperkasa wanita dan memastikan setiap anak mendapat permulaan hidup yang terbaik.
Calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani berkata, langkah itu perlu direalisasikan kerana percaya kemajuan sesebuah negeri tidak boleh diukur hanya melalui nilai pelaburan atau pertumbuhan ekonomi.
“Negeri yang benar-benar maju ialah negeri yang menjadi tempat terbaik untuk membesarkan anak-anak. Johor hari ini mempunyai lebih satu juta kanak-kanak.
“Ini bermakna setiap dasar yang kita laksanakan perlu mengambil kira keperluan generasi akan datang,” katanya pada sidang media bersama-sama tiga calon PH yang lain di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini hari ini.
Turut hadir Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai) dan Lee Wern Yiing (Johor Jaya).
Zulaila berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan Johor mencatat pertumbuhan tertinggi bilangan Taska berdaftar pada 2024.
Jelasnya, itu membuktikan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kanak-kanak terus meningkat seiring dengan pertambahan ibu bapa yang bekerja.
“Saya sendiri melalui rutin yang sama seperti ribuan ibu bapa lain, menghantar anak sebelum bekerja dan bergegas pulang untuk mengambil mereka.
“Saya memahami tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa bekerja dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga,” katanya.

Sebab itu, katanya, penjagaan kanak-kanak bukan sekadar isu wanita atau kebajikan kerana juga merupakan isu ekonomi.
Menurutnya, apabila ibu bapa mempunyai akses kepada penjagaan anak yang baik, mereka dapat bekerja dengan lebih tenang dan produktif.
Pada masa yang sama lebih ramai wanita dapat kembali menyertai pasaran pekerjaan selepas melahirkan anak.
“Atas sebab itu, PH menawarkan pembinaan 250 Taska Madani dan Taska tempat kerja di kawasan perindustrian, pejabat kerajaan dan komuniti di seluruh Johor.
“Matlamatnya bukan sekadar menambah bilangan Taska, tetapi memastikan kemudahan penjagaan anak berada lebih dekat dengan tempat ibu bapa bekerja, sekali gus mengurangkan beban harian mereka/
“Ramai wanita mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman tetapi terpaksa menangguhkan kerjaya kerana kesukaran mendapatkan penjagaan anak yang sesuai.
“Dengan sokongan yang betul, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan keluarga, malah terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, pelaburan terbaik sesebuah kerajaan bukan hanya pada bangunan atau infrastruktur tetapi pada manusia.
“Apabila kita memudahkan ibu bapa bekerja, kita mengukuhkan institusi keluarga. Apabila kita melabur dalam penjagaan kanak-kanak, kita sedang melabur dalam modal insan Johor.
“Masa depan Johor tidak hanya ditentukan oleh jumlah pelaburan yang masuk, tetapi juga oleh sejauh mana kita membantu setiap keluarga membesarkan generasi akan datang dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette
















