BATU PAHAT – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak berminat menyahut cabaran berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya Menteri Besar Johor itu berkata, Maszlee yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sepatutnya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya.
Tegasnya, bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sepatutnya melunaskan janji-janji terdahulu yang didakwa masih belum ditunaikan.
“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia lari dari Simpang Renggam kan?
“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun dialog, dia pergilah dengan orang di sana (Puteri Wangsa). Apa kena-mengena dengan dengan kawasan saya di Machap? ” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen BN di DUN Semerah, hari ini.
Hadir sama calon BN DUN Semerah yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd Fared Mohd Khalid.
Onn Hafiz turut mendakwa penduduk Simpang Renggam masih menuntut beberapa janji yang pernah dibuat Maszlee.
“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak bagi tol percuma, sampai sekarang tidak ditunaikan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz turut menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan pembangkang memainkan sentimen bagi menimbulkan kemarahan rakyat terhadap BN.
“Tak ada kena-mengena dengan Datuk Seri Najib dan ini antara contoh hasutan yang dibuat kepada rakyat untuk bagi orang marah dan benci, tetapi Bangsa Johor tidak begitu.
“Kita lebih cerdik daripada apa yang mereka fikirkan dan lagi kuat naratif ini dimainkan, lagi ramai orang tidak percaya,” katanya
Tambahnya, strategi memainkan naratif sedemikian bukan perkara baharu kerana ia sering digunakan pembangkang dalam setiap pilihan raya.
“Itulah cara mereka daripada dulu, menghasut dan menjanjikan bulan bintang. Itu strategi mereka dan itu mentaliti pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette
















